Home Nasional TNB mampu tingkat keupayaan bidang tenaga di luar negara
Nasional

TNB mampu tingkat keupayaan bidang tenaga di luar negara

TNB mampu tingkat keupayaan bidang tenaga di luar negara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

NEWCASTLE, 27 April – Tenaga Nasional Bhd (TNB) mampu mengembangkan dan terus meningkatkan keupayaannya dalam bidang tenaga di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pelaburan TNB dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) di sini menunjukkan kemampuan syarikat Malaysia untuk melabur dan mengembangkan sayap di peringkat antarabangsa.

Katanya pelaburan itu dibuat menerusi syarikat milik penuh TNB, Vantage RE Ltd (Vantage RE).

“Syabas dan tahniah kepada TNB kerana telah meneroka dan mengembangkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa khususnya di United Kingdom (UK). UK ini luas termasuklah di Ireland, Scotland dan sebagainya.

“Ini menunjukkan kemampuan syarikat Malaysia yang akhirnya memberi pulangan bukan sahaja kepada TNB malah kepada negara dari segi pelaburan luar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Blyth Offshore Windfarm di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pegawai Tenaga Baharu TNB Mohd Zarihi Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Bhd Datuk Sharbini Suhaili.

Fadillah berharap lebih banyak syarikat terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melihat potensi pelaburan di luar negara.

Ladang angin luar pesisir berkapasiti 41.5 megawatt (MW) dan mula beroperasi pada 2017 itu terletak kira-kira 6.5 kilometer dari pesisir pantai. Vantage RE memiliki 49 peratus pegangan saham BODL yang merupakan pemilik ladang tersebut.

Vantage RE mengendalikan dan membangunkan portfolio aset tenaga boleh baharu (TBB) TNB sebanyak 1.3 gigawatt (GW) di UK dan Ireland. Pengurusan dan pembangunan aset TBB ini melibatkan kepakaran TNB bersama-sama kemahiran tempatan di UK.

Baru-baru ini, Vantage RE juga telah membina 100 MW ladang solar di UK yang akan dilengkapi dengan sistem penyimpanan bateri tenaga (BESS) pada masa depan. Dengan kemahiran yang diperoleh, TNB akan dapat menerajui dan menjadi pemangkin industri RE di Malaysia.

Mengenai penyertaan negara dalam Sidang Kemuncak mengenai Keselamatan Tenaga selama dua hari di Lancaster House yang berakhir pada Jumaat, Fadillah berkata ia peluang terbaik untuk Malaysia mempelajari teknologi terkini mengenai tenaga baharu.

“Ini peluang terbaik untuk negara bukan sahaja untuk belajar malah, pada masa yang sama mengembangkan dan berkongsi pengalaman dengan negara lain. Inilah peluang untuk syarikat kita mengembangkan sayap mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sidang kemuncak tersebut memberi peluang kepada Malaysia untuk menyuarakan komitmen terhadap penjagaan alam sekitar, mengembangkan jalinan dari segi teknologi dan kepakaran.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan kerajaan UK serta menghimpunkan pembuat keputusan global bagi merangka dan membentuk tindakan ke arah masa depan keselamatan tenaga. – BERNAMA

Related Articles

Golongan muda diingatkan waspada ancaman penipuan siber guna AI
Nasional

Golongan muda diingatkan waspada ancaman penipuan siber guna AI

Panel Pencegahan Penipuan Digital, Ts Lukas J. Tan KUALA LUMPUR, 27 April-...

Elak babi melintas jalan, seorang pelajar maut dirempuh kereta
Nasional

Elak babi melintas jalan, seorang pelajar maut dirempuh kereta

FOTO IPD SERI ALAMJOHOR BAHRU, 27 April- Seorang pelajar lelaki maut, manakala...

Agong zahir ucapan selamat menyambut Hari TLDM ke-91
Nasional

Agong zahir ucapan selamat menyambut Hari TLDM ke-91

FOTO FB Sultan Ibrahim Sultan IskandarKUALA LUMPUR, 27 April- Yang di-Pertuan Agong,...

Tuanku Syed Sirajuddin titah warga ATM buang sikap ego, tingkat profesionalisme
Nasional

Tuanku Syed Sirajuddin titah warga ATM buang sikap ego, tingkat profesionalisme

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan bergambar bersama anggota Kawalan Kehormatan...