KUALA LUMPUR, 1 Februari- Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Kamil Abdul Munim menyanggah beberapa pandangan disifatkan dangkal termasuk daripada seorang mantan Menteri yang mendakwa bahawa Malaysia perlu lebih mengutamakan rakyat sendiri berbanding nasib rakyat Palestin.
Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan perkara itu dilihat sebagai hujah kurang cerdik selain mencerminkan gejala kejahilan moral membimbangkan.
\”Justeru, adalah kita hanya perlu bersuara dan berjuang untuk keadilan jika ia berlaku dalam lingkungan sempadan negara sahaja? Jika itu logiknya, maka kita tidak sepatutnya mengutuk keras kezaliman apartheid di Afrika Selatan dahulu.
\”Jika itu hujahnya, maka kita juga tidak perlu menghantar bantuan kemanusiaan ke Bosnia semasa pembantaian yang amat dahsyat di Srebrenica.
\”Namun, sejarah membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah menjadi sekadar penonton kepada sejarah malah turun sama ke gelanggang menyusun sejarah,\” menurut kenyataan itu.
Malaysia juga terus menunjukkan solidariti dalam tragedi Bosnia ketika dunia membisu.
Negara turut menghantar pasukan pengaman, memberi bantuan ketenteraan kepada Bosnia dan menyumbang secara signifikan untuk membela rakyat yang dizalimi dan tertindas.
\”Jika pada ketika itu kita mampu bertindak dan mempunyai sikap keprihatinan tinggi, lantas mengapa sekarang kita perlu \’menjaga tepi kain sendiri\’ dan mengabaikan tuntutan keadilan buat rakyat Palestin?
\”Memetik pejuang anti-apartheid dan mantan Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, \”Kita sedar betapa kebebasan kita tidak akan lengkap selagi rakyat Palestin terus dipijak\”.
\”Jika seorang pejuang anti-apartheid seperti Mandela mampu menggarap bahawa persoalan keadilan tidak mengenal sempadan, mengapa ada di kalangan kita yang kini terpekik dan terlolong menentang usaha murni ini?,\” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu beliau berpendapat bahawa hujah yang dilontarkan sesetengah pihak bersifat malas.
\”Sejak bila menonjolkan kepedulian kepada Palestin bermakna kita menggadai dan mengabaikan kepentingan dan kebajikan rakyat sendiri? Adakah keupayaan untuk punyai sikap ihsan terbatas pada rakyat sendiri sahaja?
\”Justeru, mesti ditegaskan bahawa Malaysia tidak boleh dan tidak akan menjadi penonton dalam sejarah,\” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama Malaysia menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan dan tidak akan berhenti mempamerkan sokongan terhadap Palestin berkutan segelintir gerombolan berasa \”terlalu jauh\” untuk peduli.