Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Livevartha) — Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan pelabur kekal berhati-hati dalam keadaan konflik ketenteraan yang berterusan di Timur Tengah.
Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.2390/2475 berbanding dolar AS daripada 4.2370/2450 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata gandingan ringgit-dolar terus diniagakan tidak berubah pada sepanjang hari dagangan.
Menurutnya Indeks Dolar AS (DXY) kekal di bawah paras 100 mata manakala harga minyak mentah Brent menyusut 0.46 peratus kepada US$72.89 setong.
Beliau berkata meskipun risiko geopolitik semakin meningkat, kesannya terhadap pasaran kewangan masih mudah diuruskan buat masa ini.
“Situasi di Timur Tengah akan terus menjadi perhatian peniaga dan pelabur dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Livevartha.
Mohd Afzanizam berkata keputusan mengenai dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada masa akan datang akan turut dipengaruhi oleh kejutan berkaitan tarif.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.