Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Livevartha) — Ringgit meneruskan peningkatan berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut berikutan kesan limpahan daripada minat pelabur asing terhadap bursa tempatan, kata ahli ekonomi.
Pada 6 petang, ringgit menokok kepada 4.3425/3460 berbanding dolar AS daripada 4.3460/3500 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur asing merekodkan pembelian bersih berjumlah RM1.2 bilion dari 1 Ogos hingga 27 Ogos.
"Ini menunjukkan pelabur asing telah memperlihatkan minat yang kukuh terhadap pasaran modal Malaysia, yang berkesan menghasilkan permintaan yang lebih tinggi untuk ringgit," katanya kepada Livevartha.
Bursa Malaysia melanjutkan kenaikan hari ini, dengan indeks utama ditutup hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan kepada 1,675.24 daripada 1,652.29.
Prestasi ini dipacu oleh lonjakan sentimen dalam sektor kewangan, disokong oleh laporan prestasi kewangan sukuan yang kukuh oleh kalangan penggiat utama.
Mohd Afzanizam menjangkakan gandingan mata wang dolar AS/ringgit akan menguji paras sokongan segera pada RM4.3000 dalam tempoh terdekat berikutan jangkaan penurunan kadar faedah penanda aras Amerika Syarikat (AS) pada September.
“Selain itu, semakan semula penarafan negara untuk Malaysia oleh bank pelaburan global akan turut menarik lebih ramai pelabur luar negara membeli aset kewangan Malaysia,” katanya.