PUTRAJAYA, 19 April – Sebanyak 22 Kursus Perdana Haji (KPH) dianjurkan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara bermula 11 April lepas hingga 4 Mei ini bertujuan memperkukuh kefahaman berkaitan manasik atau tatacara pelaksanaan haji kepada bakal jemaah terpilih pada musim ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na\’im Mokhtar berkata TH menganjurkan beberapa kursus untuk jemaah haji seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan KPH.
\”Kursus-kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman berkaitan manasik haji dan perkara-perkara yang berkaitan, sama ada daripada aspek kesihatan mahupun pengurusan.
\”Saya mendoakan bakal jemaah sekalian mendapat manfaat dan diberikan kefahaman ilmu ibadah haji yang lengkap melalui kursus-kursus haji yang dianjurkan ini,\” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian KPH Peringkat Wilayah Persekutuan Musim Haji 1446H/2025M.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Mohd Na\’im turut menasihatkan bakal haji untuk sentiasa menjaga akhlak dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah atau terpuji sebagai tetamu Allah.
\”Tanamkan sifat syukur dan sabar dalam menghadapi lautan manusia dan ketidakselesaan sepanjang berada di Tanah Suci, terutama semasa hari-hari kemuncak haji nanti.
\”Saya harap bakal jemaah haji dapat menumpukan masa dan tenaga kepada ibadah serta mematuhi segala peraturan semasa di Tanah Suci. Kekalkan sikap positif dan disiplin yang tinggi serta jadilah jemaah haji contoh untuk dunia Islam, seterusnya menjaga nama baik TH dan Malaysia,\” katanya.
Sementara itu, Syed Hamadah berkata TH sentiasa komited untuk menjaga kebajikan dan keselamatan setiap jemaah haji Malaysia melalui perkhidmatan dan kemudahan disediakan yang mencapai kualiti bertaraf dunia serta menjadi contoh kepada negara-negara Islam.
\”Walaupun dengan pelbagai cabaran pada setiap tahun, semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH kekal komprehensif dan di tahap tertinggi demi kebajikan, keselesaan serta keselamatan para jemaah haji negara,\” katanya.
Seiring dengan perkembangan teknologi, Syed Hamadah berkata TH giat menyediakan pelbagai platform digital sepanjang operasi haji berlangsung sebagai kemudahan khusus buat bakal-bakal haji.
\”TH menyediakan tiga platform digital berkaitan operasi haji iaitu THHujjaj bagi memudahkan jemaah haji mendapat maklumat terkini sepanjang perjalanan haji; e-Bimbingan yang berfungsi sebagai pembelajaran ibadat haji dalam talian; dan e-TAIB yang membolehkan jemaah haji mengajukan soalan bimbingan haji, hukum-hakam serta mendapatkan penjelasan secara terus,\” katanya.
Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke tanah suci bagi musim 1446H/2025M dijadualkan pada 29 April, manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 30 Mei ini. – BERNAMA