KUALA LUMPUR, 18 April- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau rapat perkembangan wabak Legionnaires yang kini sedang menular di Sydney, Australia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat ini Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) belum mendapat sebarang maklumat mengenai penularan jangkitan tersebut.
Bagaimanapun, KKM akan bersiap siaga berhubung kemungkinan jangkitan wabak tersebut menular dalam negara.
\”Bagi pihak kami di KKM, pemantauan akan dijalankan. Sebaik sahaja kami menerima maklumat daripada CPRC, kami akan maklumkan nanti,\” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Prapelancaran Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2025 di sini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan beberapa individu dijangkiti Legionnaires dan menggesa mereka yang berada di pusat bandar Sydney dan kawasan sekitarnya pada akhir Mac atau awal April supaya berwaspada terhadap gejala penyakit tersebut.
Penyakit Legionnaires merupakan sejenis radang paru-paru yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Legionella, yang secara semula jadi wujud dalam air tawar dan gejala penyakit boleh muncul hingga 10 hari selepas terdedah kepada bakteria itu.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kerajaan tegas dalam mengawal selia penjualan vape mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Oktober tahun lalu.
Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mempunyai hak untuk tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga vape.
\”Kita dapat lihat beberapa negeri telah mengambil inisiatif untuk tidak mengizinkan penjualan, dengan tidak mengizinkan juga pemberian lesen kepada kepada mereka yang bergiat dalam dalam industri vape untuk menjual vape.
\”Saya kira itu adalah hak kerajaan negeri dan mereka punya ruang daripada sudut peruntukan perundangan kecil mereka di peringkat negeri.
\”Sekiranya ada bukti-bukti baharu, kita sebagai sebuah kementerian dan kerajaan sudah tentu akan terus meneliti semua perkara itu,\” katanya.
Dzulkefly mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape memandangkan ia dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
Ketika ini penguatkuasaan Akta 852 masih di peringkat advokasi, bagi memberi ruang kepada peniaga menyesuaikan diri dan mematuhi peraturan berkaitan sebelum tindakan penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan.
Sementara itu, Dzulkefly berkata Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab serantau dalam transformasi dan inovasi penjagaan kesihatan.
Jelasnya, keutamaan pula akan diberikan terhadap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), kesihatan awam dan kemampanan yang kini menjadi cabaran utama di peringkat global.
Perkara tersebut selaras dengan Kertas Putih Kesihatan, dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan.
\”Kita sedang berdepan dengan peralihan kepada pandemik NCD, dan khususnya bagi Malaysia yang berkongsi konteks Asia dan lebih luas lagi ASEAN, adalah sangat penting untuk Malaysia menonjolkan dirinya.
\”MIH Megatrends sebagai satu platform sebenar bagi pertukaran penemuan penyelidikan yang inovatif dan berimpak besar. Kami ingin menekankan kepentingan ketepatan perubatan,\” katanya lagi.
MIH Megatrends 2025 adalah kerjasama strategik antara KKM dan KPJ Healthcare Bhd, dan dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 November depan di ibu negara.
Bertemakan ‘Inovasi untuk Masa Depan Kesihatan yang Mampan’, persidangan itu mencerminkan hala tuju strategik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
MIH Megatrends 2025 menghimpunkan pemimpin pemikiran global, penggubal dasar penjagaan kesihatan, doktor serta pakar industri bagi bertukar idea serta pandangan dalam bidang penjagaan kesihatan.