Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Livevartha) — Bursa Malaysia mengakhiri penyusutan awal dengan ditutup tinggi hari ini apabila belian pada saat-saat akhir mendorong indeks petunjuk utama mencapai paras tertinggi harian berikutan jangkaan pasaran bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada mesyuarat esok.
Indeks serantau utama khususnya di China dan Hong Kong mencatatkan kenaikan ketara selepas data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China bagi Oktober memperlihatkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding jangkaan dalam sektor perkhidmatan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.27 mata atau 0.26 peratus kepada 1,620.70 berbanding 1,616.43 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.77 mata lebih tinggi kepada 1,618.20 dan seterusnya mencatat paras paling rendah 1,613.91 dalam sesi dagangan awal sebelum meraih momentum peningkatan pada sesi dagangan akhir.
Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 512 berbanding 476 manakala 496 kaunter tidak berubah, 895 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.58 bilion unit bernilai RM2.47 bilion berbanding 2.41 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata prestasi pasaran tempatan yang menggalakkan turut disokong oleh minat belian yang berterusan dalam saham perladangan.
“Kami mengekalkan unjuran optimis namun berhati-hati terhadap pasaran tempatan. Walaupun sentimen pasaran menunjukkan isyarat penambahbaikan, kami sedar jangkaan pelabur mungkin berubah-ubah dengan perubahan dalam landskap makroekonomi.