Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 6 Nov (Livevartha) — Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, didorong oleh dasar ekonomi tempatan yang menggalakkan, sentimen positif daripada pendapatan saham teknologi yang kukuh dan prospek pasaran Amerika Syarikat (AS) yang memberangsangkan, kata penganalisis.
Selain itu, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dijangka menggalakkan perbelanjaan domestik dan pelaburan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.47 mata atau 0.83 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian sebanyak 1,634.17 berbanding 1,620.70 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.71 mata lebih tinggi kepada 1,624.41 dan seterusnya mencatat paras terendah 1,623.52 dalam dagangan awal sebelum meningkat menjelang sesi akhir dagangan.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 849 berbanding 352 manakala 428 kaunter tidak berubah, 765 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.39 bilion unit bernilai RM2.92 bilion berbanding 2.58 bilion unit bernilai RM2.47 bilion pada Selasa.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata sentimen positif di bursa tempatan turut dipacu oleh minat belian yang berterusan di seluruh sektor terutama dalam sektor teknologi.
“Momentum positif ini didorong oleh keputusan pendapatan Palantir Tech yang lebih kukuh berbanding jangkaan, menunjukkan pertumbuhan yang besar dalam pendapatan, didorong oleh kecerdasan buatan dan meningkatkan sentimen terhadap saham teknologi di pasaran tempatan,” katanya kepada Livevartha.