Tuesday , 24 December 2024
Home Ekonomi Penyertaan Malaysia dalam BRICS tingkat akses ke blok ekonomi besar
Ekonomi

Penyertaan Malaysia dalam BRICS tingkat akses ke blok ekonomi besar

Penyertaan Malaysia dalam BRICS tingkat akses ke blok ekonomi besar

PETALING JAYA: Penyertaan secara rasmi Malaysia sebagai negara rakan kongsi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) akan meningkatkan akses negara ini dalam blok ekonomi yang besar.

Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng berkata, penyertaan ini juga memberi peluang kepada Malaysia mendapat akses kepada rancangan BRICS memperkenalkan mata wang baharu untuk digunakan antara negara-negara dalam blok itu.

Katanya, perkara tersebut penting supaya negara ini tidak ketinggalan dalam peluang ekonomi dan sekali gus dapat mengelak ketidaktentuan serta kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).

“Penting bagi kita untuk berada dalam blok ekonomi yang besar yang mana BRICS mewakili 40 peratus daripada populasi global.

“Sebagai rakan kongsi, kita akan dapat akses kepada perancangan baharu dalam blok itu. Selain itu, ahli dalam BRICS akan mendapat manfaat dengan melindungi ekonomi daripada perangkap geopolitik.

“Apa sahaja manfaat dalam BRICS, kita dapat menikmatinya. Sebagai rakan kongsi kita akan mendapat manfaat itu. Cuma kita tidak terlibat dalam membuat keputusan iaitu dibuat oleh ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pada dasarnya, tujuan BRICS adalah baik tapi pelaksanaannya masih belum lagi terbukti sepenuhnya.

“Buat masa ini, negara-negara dalam BRICS menggunakan mata wang masing-masing apabila berdagang. Malaysia juga boleh memanfaatkan sistem ini.

“Dengan nilai ringgit semakin kukuh, kita dapat membeli barangan dengan lebih murah tetapi eksport kita akan menjadi sedikit mahal kecuali ada kadar pertukaran wang yang ditetapkan.

“Malaysia boleh berniaga dengan banyak negara dan harga boleh dirundingkan sesama sendiri. Ini salah satu kelebihan menggunakan mata wang negara masing-masing,” ujarnya.

Menurut hantaran @BRICSInfo di platform X, Malaysia secara rasmi diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.

Hantaran itu berkata, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, namun bukan sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turkiye, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Russia kini mempengerusikan blok berkenaan, yang turut dianggotai oleh Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan bahawa Malaysia telah menyerahkan permohonan kepada Russia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS pagi ini

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 24 Disember– Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding Dolar AS...

Pines Avenue dan Baris Place 2 capai jualan 100 peratus
Ekonomi

Pines Avenue dan Baris Place 2 capai jualan 100 peratus

BARIS Place 2 di Setia Mayuri terdiri daripada 16 unit lot kedai...

VentureTECH, MTC Orec umum kerjasama percepat pembangunan loji biometan 
Ekonomi

VentureTECH, MTC Orec umum kerjasama percepat pembangunan loji biometan 

PETALING JAYA: VentureTECH Sdn. Bhd. (VentureTECH), sebuah syarikat pelaburan impak, mengumumkan pelaburan...

Dividen ASB 2024 dijangka berada paras 5.3 sen hingga 6.5 sen
Ekonomi

Dividen ASB 2024 dijangka berada paras 5.3 sen hingga 6.5 sen

MENARA PNBPETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB)...