Home Ekonomi KDNK 2025 diunjur 5.0 peratus, disokong permintaan domestik
Ekonomi

KDNK 2025 diunjur 5.0 peratus, disokong permintaan domestik

KDNK 2025 diunjur 5.0 peratus, disokong permintaan domestik

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang pada 5.0 peratus, disokong oleh permintaan domestik dan peningkatan sentimen perniagaan di dalam negara.

Standard Chartered Global Research berkata, pelaburan swasta dijangka terus disokong oleh minat yang kuat dalam sektor pembuatan di Malaysia, walaupun sedar prospek global yang berhati-hati di tengah risiko tarif mungkin memberi kesan kepada sentimen.

“Perbelanjaan pengguna dijangka disokong oleh pasaran buruh yang sihat. Sumbangan daripada pertumbuhan luaran mungkin kekal suram kerana ketidaktentuan yang memberi kesan kepada perdagangan global.

“Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar pada 2025,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma penyelidikan itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2024 perlahan sedikit kepada 5.0 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku ketiga 2024, namun masih kekal kukuh.

“Ini membawa pertumbuhan KDNK 2024 kepada 5.1 peratus, berbanding 3.6 peratus pada 2023.

“Menurut BNM, pendorong utama pertumbuhan pada 2024 adalah pelaburan swasta yang disokong oleh pelaksanaan projek baru dan projek yang sedang berjalan.

“Di samping itu, pelaburan swasta menyumbang 1.9 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK 2024, berbanding 0.7 mata peratusan pada 2023,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Berhad (Maybank IB) berkata, gaji penjawat awam yang lebih tinggi, kenaikan gaji minimum, pemberian dan pelepasan cukai pendapatan peribadi diyakini memacu sektor pengguna yang seterusnya akan mengembangkan ekonomi negara.

“Walaupun jualan semikonduktor global dan industri pelancongan menyaksikan pemulihan berterusan, Maybank IB menekankan tekanan geopolitik dan tarif perdagangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mungkin memberi kesan kepada eksport Malaysia,” katanya.

Pada suku keempat 2024, ekonomi Malaysia berkembang 5.0 peratus melebihi sedikit daripada jangkaan pasaran dan anggaran pendahuluan rasmi sebanyak 4.8 peratus, mencerminkan prestasi lebih baik merentasi segmen pembekal dan permintaan.

Selain itu, eksport barangan dan perkhidmatan juga berkembang manakala pertumbuhan import modal dan pengantara menjadi sederhana.

Sebaliknya, terdapat pembinaan dalam sektor komoditi disebabkan oleh pengeluaran kelapa sawit yang lebih rendah serta penurunan berterusan dalam pengeluaran minyak.

Pada asas suku ke suku, pertumbuhan merosot sebanyak 1.1 peratus dan sepanjang tahun, ekonomi Malaysia meningkat 5.1 peratus. – UTUSAN

Related Articles

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini
Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini

PERTUMBUHAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berisiko lebih rendah tahun ini....

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ
Ekonomi

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) komited dalam kemudahan pembiayaan sebanyak...

Ekonomi

Emas ditutup tinggi susulan ketidaktentuan politik, ekonomi global

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin...

Ekonomi

PEOPLElogy Bhd sedia tersenarai di Bursa Malaysia 20 Mei ini

PEOPLElogy Bhd mengesahkan komitmennya untuk meneruskan rancangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa...