Sunday , 22 December 2024
Home Perniagaan Pasaran getah Malaysia ditutup rendah bagi tiga hari berturut-turut
Perniagaan

Pasaran getah Malaysia ditutup rendah bagi tiga hari berturut-turut

Pasaran getah Malaysia ditutup rendah bagi tiga hari berturut-turut

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 18 April- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah bagi hari ketiga berturut-turut hari ini ditengah-tengah penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau dan kekukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran terjejas akibat daripada kebimbangan berterusan terhadap kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang kekal tinggi bagi tempoh lebih lama dan ketegangan geopolitik yang memburuk di Timur Tengah.

Niaga hadapan getah Jepun susut pada Khamis apabila kebimbangan geopolitik yang semakin meningkat dan harga minyak mentah yang lemah telah menjejaskan sentimen pasaran.

Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh pemulihan harga minyak mentah ditambah dengan jangkaan kekurangan bekalan getah ekoran cuaca panas dan musim daun luruh di negara pengeluar getah utama.

“Harga minyak meningkat pada Khamis, mengurangkan sedikit penurunan sebelumnya selepas AS berkata ia akan mengenakan semula sekatan ke atas Venezuela dan ura-ura Kesatuan Eropah akan mengenakan sekatan baharu ke atas Iran,” katanya kepada Bernama.

Memetik ramalan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand, beliau turut berkata bahawa keadaan cuaca yang \”panas sehingga sangat panas\” dijangka berterusan di seluruh Thailand, termasuk wilayah selatan sehingga 23 April.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) turun satu sen kepada 765.5 sen sekilogram manakala harga susu getah pukal susut sebanyak 0.5 sen kepada 734.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan MRB bagi SMR 20 fizikal berada pada 765 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 735 sen sekilogram. -Livevartha

Related Articles

Perniagaan

Kerajaan fokus optimum perbelanjaan, tingkatkan hasil

Rafizi RamliKUALA LUMPUR, 14 Oktober- Kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengoptimumkan perbelanjaan,...

Perniagaan

Pelabur asing teruskan penjualan ekuiti domestik untuk minggu ketiga

FOTO RTMKUALA LUMPUR, 14 Oktober– Pelabur asing meneruskan penjualan ekuiti domestik untuk...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Perlu adil, inklusif untuk semua golongan

Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan pada temu bual program Selamat Pagi Malaysia...

Perniagaan

Belanjawan 2025: Dana perkasa Industri Seni dan Kreatif

FOTO RTM / LivevarthaKUALA LUMPUR, 13 Oktober– Menjelang Belanjawan 2025, penggiat seni...