SEREMBAN, 18 April- Kerajaan Negeri Sembilan melalui NS Corporation komited dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara dan pemacu dalam pembangunan khususnya di kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan segala proses berkaitan pembangunan berjalan lancar dengan mematuhi peraturan ditetapkan dan memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan.
Gabungan sinergi antara sektor awam dan swasta itu dapat memperkukuh daya tahan ekonomi negeri selain menjadi kunci terhadap pembangunan negara yang akan mengukuhkan kedudukan syarikat terlibat di peringkat nasional dan antarabangsa.
\”Saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua syarikat gergasi iaitu Eco World dan SD Guthrie atas komitmen serta sokongan yang diberikan dalam inisiatif pembangunan ini.
\”Kerjasama strategik tiga hala ini adalah contoh terbaik bagaimana kekuatan dan kepakaran setiap syarikat boleh digabungkan dalam menghasilkan impak besar bukan sahaja kepada pemegang taruh dan pelabur, bahkan kepada rakyat Negeri Sembilan,\” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama Antara Perbadanan Ns, Eco World Development Group Berhad Dan Sd Guthrie Berhad di sini.