PUTRAJAYA, 16 April- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan Majlis Makan Malam Rasmi di Seri Perdana sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Jamuan itu diadakan selepas pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin yang membincangkan pelbagai bentuk kerjasama serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Perdana Menteri dan Presiden China turut menyaksikan pertukaran 31 dokumen melibatkan Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota antara 13 kementerian dari kedua-dua negara.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama anggota Jemaah Menteri.
Terdahulu, Presiden Xi diberi sambutan negara dan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, sebelum menghadiri Jamuan Negara yang dianjurkan oleh Seri Paduka Baginda.
Lawatan negara Presiden Xi selama tiga hari itu adalah atas undangan rasmi Yang di-Pertuan Agong.