PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove), melalui anak syarikat milik penuh, TG Treasury Berhad, mengumumkan kejayaan penerbitan Sukuk Wakalah Senior lima tahun dengan nilai nominal RM800 juta.
Langkah kewangan strategik itu bertujuan untuk penebusan Sukuk Perpetual yang masih tertunggak berjumlah RM1.18 bilion pada tarikh panggilan pertama pada 27 Februari 2025.
Hasil daripada penerbitan Sukuk Wakalah Senior bernilai RM800 juta serta RM380 juta daripada dana dalaman kumpulan akan digunakan bagi menebus Sukuk Perpetual tersebut.
Penerbitan Sukuk Wakalah Senior ini dijangka dapat mengurangkan kos pembiayaan keseluruhan kumpulan.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai berkata, kejayaan penerbitan Sukuk Wakalah Senior itu merupakan pencapaian penting bagi Top Glove dalam usaha mengukuhkan kedudukan kewangan dan memacu pertumbuhan mampan.
“Penerbitan ini telah menarik sambutan positif, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap strategi jangka panjang kami serta komitmen untuk terus memberikan nilai.
“Kami kekal fokus dalam memanfaatkan peluang ini bagi menyokong pertumbuhan dan meningkatkan daya tahan dalam landskap pasaran yang semakin berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Selepas penerbitan Sukuk Wakalah Senior dan penebusan Sukuk Perpetual, nisbah hutang bersih kumpulan berada pada tahap sihat iaitu 0.12 kali.
Sukuk Wakalah Senior yang telah diberi penarafan AA- oleh MARC Ratings Berhad (MARC), menerima sambutan kukuh daripada para pelabur, dengan lebihan langganan kira-kira 3.32 kali dan jumlah tempahan mencecah RM2.65 bilion.
CIMB Investment Bank Berhad dan Hong Leong Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama bersama, penyusun utama bersama dan pengurus utama bersama, manakala CIMB Islamic Bank Berhad adalah penasihat syariah bagi program sukuk ini.-UTUSAN