PETALING JAYA: Malaysia dijangka berdepan cabaran dalam pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) dengan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip AI, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekatan berkenaan tidak menjejaskan pembangunan ekosistem pusat data domestik secara keseluruhan.
Menurutnya, Malaysia telah diletakkan di bawah kategori Tahap 2 menerusi sekatan baharu itu selain Singapura, Indonesia dan Vietnam, dengan negara-negara berkenaan diberikan akses yang terhad dan terkawal bagi eksport teknologi AI termaju.
“Bagaimanapun, sekatan ini tidak akan menjejaskan operasi pusat data yang lain seperti pusat data yang memberi perkhidmatan transaksi, e-dagang dan penyimpanan data kerana mereka tidak menggunakan cip AI atau teknologi AI termaju,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai impak terhadap Malaysia untuk menjadi pusat data serantau selepas arahan terbaru AS yang meletakkan Malaysia dalam kategori negara Tahap 2 berhubung akses terhadap eksport cip AI negara itu.
Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan tarif automotif 25 peratus dan duti serupa ke atas import semikonduktor dan farmaseutikal, dengan levi ke atas kereta akan dibuat pada 2 April.
Sementara itu, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, tarif automotif tidak akan memberi kesan kepada Malaysia disebabkan negara tidak mengeksport kereta ke AS seperti Jepun dan China.
“Bagaimanapun, sektor semikonduktor berkemungkinan akan menerima sedikit kesan terhadap tarif tersebut.
“Sektor semikonduktor sudah lebih 40 tahun di Malaysia namun, masih menjalankan pengujian dan pemasangan sahaja seperti Intel.
“Selain itu, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) amat kurang disektor swasta di Malaysia tidak seperti di China dan Taiwan,” katanya.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kerajaan perlu mencari pasaran lain dari negara lain yang menawarkan insentif cukai yang lebih menarik, termasuk bekerjasama dengan negara Eropah, Asia Tengah serta negara-negara GCC (Gulf Cooperation Council).
Katanya, kerajaan juga boleh memberikan insentif cukai kepada pelabur asing untuk melabur di Malaysia dalam industri automotif, semikonduktor dan juga farmaseutikal.
“Bagi kenaikan cukai import kenderaan berkemungkinan kurang dirasai oleh negara ASEAN kerana pasaran automotif kenderaan AS di ASEAN adalah kecil.
“Namun, ASEAN terkesan dengan kenaikan duti semikonduktor kerana banyak produk pengguna yang digunakan oleh rakyat ASEAN adalah signifikan.
“Kenaikan cukai terhadap produk industri farmaseutikal juga memberi kesan negatif kepada ASEAN kerana kos kebanyakan ubat-ubatan dan juga alatan perubatan teknologi tinggi akan meningkat,” katanya.
Malah, jelas Mohd. Rizal, kesan tidak langsung seperti dolar AS mungkin menyusut kerana import dari AS dan permintaan terhadap dolar semakin berkurangan.
“Pastinya polisi baharu AS ini memberi kelebihan kepada China kerana banyak negara akan beralih kepada permintaan produk automotif dari China,” katanya. – UTUSAN