KUALA LUMPUR, 4 Nov (Livevartha) — Indeks utama Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Isnin, menunjukkan sentimen positif di seluruh pasaran serantau.
Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.67 mata atau 0.47 peratus kepada 1,611.65 daripada 1,603.98 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Indeks yang menjadi penanda aras itu dibuka 3.77 mata lebih tinggi kepada 1,607.75 dan didagangkan dalam julat 1,607.75 hingga 1,615.95 sepanjang sesi pagi.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan 464 kaunter untung mengatasi 441 kaunter rugi, manakala 446 kaunter lagi tidak berubah, 1,050 kaunter tidak diniagakan, dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion saham bernilai RM1.05 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd walaupun turun naik pasaran yang ketara berterusan, ringgit yang rendah pada RM4.375 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) boleh meningkatkan sentimen dalam sektor berorientasikan eksport seperti sarung tangan dan teknologi.
“Selain itu, sektor perladangan berkemungkinan menunjukkan aliran positif sejajar dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM), manakala sektor minyak dan gas boleh mendapat manfaat daripada kenaikan semula harga minyak mentah berikutan ketegangan yang berterusan di Timur Tengah.
“Bagi pelaburan untuk syarikat yang dijangka mengekalkan kestabilan, kami cenderung kepada kepada sektor pengguna, dengan syarikat seperti MR DIY dan 99 Speedmart menawarkan pilihan menarik,” menurutnya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB Group masing-masing meningkat 6.0 sen kepada RM10.46 dan RM8.01, manakala Tenaga Nasional melonjak 14.0 sen kepada RM14.04.