Friday , 15 November 2024
Home Ekonomi KFL tarik pelaburan RM40 bilion
Ekonomi

KFL tarik pelaburan RM40 bilion

KFL tarik pelaburan RM40 bilion

MOHD. Jafni Md. Shukor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Mohd. Fahmi Salam (kiri) dengan Mohd. Azwan Mohd. Salleh di Hotel Impiana Senai, Kulai.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM

KULAI:  Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) berjaya menarik pelaburan sehingga RM40 bilion sejak Kulai Fast Lane (KFL) diperkenalkan pada 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sehingga 171 peratus ke daerah itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, kemasukan pelaburan ke daerah itu secara tidak langsung menawarkan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya penduduk tempatan.

“Di Kulai sekarang ini kita telah dapat permohonan di tapak industri yang baharu melibatkan 161.87 hektar yang baru-baru ini dibeli pihak Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld).

“Kita juga ada Step 1 dan Step 2 di Kawasan Industri Sedenak. Step 1 di Kawasan Industri Sedenak melibatkan kawasan seluas 2938.02 hektar hampir penuh.

“Step 2 pula kini sudah 60 peratus (kawasan) telah dibeli pelabur dan dalam proses pembangunan,” katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Seminar Kulai Fast Lane Pemacu Negara di Hotel Impiana Senai, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua MPKu, Mohd. Fahmi Salam; Pengarah Productivity Corporation (MPC) Wilayah Selatan, Mohd. Azwan Mohd. Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Rosli Md. Illias. 

KFL merupakan satu inisiatif mesra pelabur yang meningkatkan kemajuan dan memastikan kemampanan serta kerancakan pertumbuhan produktiviti dan ekonomi khususnya di Johor.

KFL juga merupakan sistem penyampaian perkhidmatan yang pantas dan berkesan untuk memproses permohonan pemajuan fizikal, merangkumi proses sebelum pelan diluluskan, kelulusan pelan, Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta pengeluaran lesen operasi.

Mengulas lanjut, Mohd. Jafni berkata, di Kulai mempunyai kawasan seluas 2023.43 hektar yang akan digunakan untuk pembangunan bercampur seperti di Kawasan Industri Sedenak pada masa akan datang.

Menurutnya, syarikat pemaju perumahan Scientex sudah membeli 161.87 hektar tanah bagi pembangunan kawasan perumahan.

“Scientex membeli tanah untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur, begitu juga ada pemaju membeli 404.68 hektar tanah di Kota Tinggi untuk buat pembangunan bercampur,” katanya.

Mengenai seminar itu, Mohd. Fahmi berkata, MPKu dan rakan strategik merangka beberapa perancangan melibatkan pelbagai aspek seperti sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“MPKu memperkukuh jalinan kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) dengan MPC, UTM dan Princeton Digital Group. Kerjasama ini akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, khususnya komuniti Kulai,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil
Ekonomi

Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil

BANK NEGARA MALAYSIAKUALA LUMPUR, 14 November– Kadar jangka pendek antara bank ditutup...

Niaga hadapan emas ditutup rendah berikutan pengukuhan dolar AS
Ekonomi

Niaga hadapan emas ditutup rendah berikutan pengukuhan dolar AS

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 14 November- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia...

Ekonomi

Minyak transformer berupaya mengurangkan risiko kebakaran di pencawang elektrik

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir / Foto RTMBANGI,...

Ekonomi

Lawatan rasmi PM ke Mesir jana potensi eksport RM4.8 bilion

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Meja Bulat para...