KUALA LUMPUR, 2 November – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan laporan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023, sempena Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM.
Laporan itu termasuk Indeks Kos Sara Hidup, dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menekankan, pembangunan PAKW yang bermula pada 2018 ,mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.
Katanya, nilai PAKW ditentukan dua faktor utama iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz isi rumah. Oleh itu, nilai PAKW bagi setiap isi rumah berbeza-beza.
\”Pembangunannya adalah berdasarkan prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek kehidupan wajar.
\”Iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan sosial berdasarkan corak pendapatan dan perbelanjaan isi rumah,\” kata Dr. Mohd Uzir dalam kenyataan.
Kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW telah dibangunkan untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat diberi.
MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing.
MyPAKW boleh dimuat turun di aplikasi Play Store atau App Store dan boleh juga diakses melalui laman sesawang mypakw.dosm.gov.my .
\”Kalkulator membolehkan pengguna menyemak kos sara hidup bulanan di setiap daerah mengikut saiz isi rumah.
Orang ramai boleh berbuat demikian dengan memilih lokasi diikuti dengan bilangan orang dalam isi rumah, dan jantina dan kumpulan umur bagi setiap individu,\” katanya.