PETALING JAYA: Anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Awalan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, berbanding pertumbuhan 5.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.
Menilai keadaan ekonomi global terkini, Laporan Sementara Ramalan Ekonomi OECD bagi September 2024, menjangkakan KDNK global akan kekal stabil pada 3.2 peratus pada 2024 dan 2025, dipengaruhi oleh disinflasi, peningkatan pendapatan sebenar dan kelonggaran dasar monetari.
Selain itu, Laporan Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik (Oktober 2024) baru-baru ini mengunjurkan pertumbuhan 4.8 peratus bagi rantau Asia Timur dan Pasifik pada 2024, mengatasi pasaran baru muncul dan ekonomi maju yang lain.
Melihat kepada senario ekonomi Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disumbangkan oleh semua sektor, terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan kecuali sektor perlombongan dan pengkuarian yang mengalami penurunan.
Jelasnya, bagi prestasi indikator ekonomi bulanan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Ogos 2024 menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.1 peratus berbanding 5.3 peratus pada Julai.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh peningkatan 6.5 peratus dalam pengeluaran sektor pembuatan, berbanding dengan 7.7 peratus pada bulan sebelumnya, dan sektor elektrik mencatatkan peningkatan 4.1 peratus berbanding 7.0 peratus pada Julai.
“Pada masa yang sama, jualan sektor pembuatan meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun, berjumlah RM163.9 bilion, disumbang oleh subsektor makanan, minuman, dan tembakau (16.1 peratus) serta produk elektrik dan elektronik (E&E) (10.4 peratus).
“Bagi industri berorientasikan eksport yang menyumbang 72.7 peratus daripada jumlah nilai jualan, mengalami pertumbuhan 7.8 peratus, manakala industri berorientasikan domestik meningkat 7.6 peratus.
“Prestasi ini menggambarkan ketahanan berterusan sektor perindustrian Malaysia dalam landskap ekonomi yang dinamik,” katanya dalam kenyataan.
Menganalisis sektor perkhidmatan Malaysia, beliau berkata, perdagangan borong dan runcit menunjukkan prestasi yang stabil dengan jualan meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun mencapai RM149.2 bilion pada Ogos 2024.
“Pertumbuhan ini dicatatkan di semua subsektor iaitu perdagangan runcit (5.9 peratus), kenderaan bermotor (4.1 peratus) dan perdagangan borong (3.7 peratus).
“Menilai kepada tahap harga, kadar inflasi Malaysia mereda kepada 1.9 peratus pada Ogos 2024.
“Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus) serta kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (3.2 peratus).
“Selain itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, rekreasi serta sukan dan kebudayaan juga mencatatkan pertumbuhan masing-masing pada 3.1 peratus dan 2.0 peratus,” katanya.
Menurut beliau, statistik terkini Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi September 2024 menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 1.8 peratus atau 133.2 mata indeks.
“Pada masa yang sama, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) mencatatkan kenaikan marginal 0.3 peratus pada Ogos 2024 dengan kebanyakan sektor dalam IHPR menunjukkan pertumbuhan, kecuali sektor perlombongan.
“Sektor pertanian, perhutanan, dan perikanan mencatatkan pertumbuhan 2.7 peratus, dan sektor pembuatan meningkat 1.0 peratus. Indeks bekalan air dan, indeks bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat 8.0 peratus dan 1.0 peratus.
“Bagaimanapun, IHPR Malaysia menyusut 2.1 peratus pada September 2024,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, melihat kepada persektif luar, jumlah dagangan barangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan yang kukuh sebanyak 18.6 peratus pada Ogos 2024, mencecah RM252.7 bilion.
“Eksport meningkat 12.1 peratus kepada RM129.2 bilion, dan import melonjak 26.2 peratus kepada RM123.5 bilion. Lebihan dagangan menyusut kepada RM5.7 bilion berikutan pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding eksport.
“Pada September 2024, prestasi dagangan Malaysia terus menunjukkan peningkatan, dengan jumlah dagangan berjumlah RM234.8 bilion, meningkat daripada RM224.3 bilion pada tahun lepas.
“Bagi import pula meningkat kepada RM110.8 bilion, manakala eksport mencatatkan penurunan marginal 0.3 peratus, berjumlah RM124.0 bilion.
“Justeru, lebihan dagangan mencatatkan RM13.2 bilion bagi September 2024, menunjukkan persekitaran dagangan yang dinamik dengan ketidaktentuan import dan eksport,” katanya. – UTUSAN