SHAH ALAM, 13 November– Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bercadang menambah kawasan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negara.
Langkah itu bertujuan meningkatkan dan menjamin pengeluaran hasil pertanian sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup ia antara usaha memastikan keterjaminan bekalan makanan untuk menampung keperluan yang semakin meningkat.
“Kita punya kebergantungan kepada makanan import masih terlalu tinggi, bermakna usaha perlu dilipatgandakan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara kita sendiri,\” katanya.
Tambahnya sebanyak RM491 juta diperuntukkan KPKM melalui Jabatan Pertanian di bawah Rancangan Malaysia Kelapan hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan pembangunan TKPM.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Projek TKPM Jabatan Pertanian 2024.