GUA MUSANG, 21 November – Replika al-Quran gergasi tulisan tangan memaparkan ayat daripada surah al-Baqarah yang terletak di hadapan Masjid Buluh di Gua Musang, Kelantan kini menjadi tumpuan pengunjung setiap hari.
Pengerusi Masjid Buluh Ibrahim Mat berkata, dia tidak menyangka replika setinggi 6.4 meter dan lebar 7.3 meter itu menarik minat orang ramai terutama para musafir.
Ibrahim berkata, pembinaan replika al-Quran gergasi yang pertama di Malaysia itu dimulakan empat bulan lalu dengan ayat tersebut ditulis oleh seorang penulis dari Thailand bernama Zulkiflee Abdul Rasyid.
\”Ada tiga orang penulis pada awalnya, tetapi selepas diteliti tulisan Zulkifli Abdul Rashid lebih kemas maka kami letakkan nama beliau sebagai penulis.
\”Ayat yang ditulis juga sesuai dengan pengunjung yang datang. Jadi kami ucap terima kasih kerana sudi singgah, solat dan memberi sumbangan,\” katanya ketika ditemui.
Kos membina replika konkrit itu mencecah RM35,000 dan penulis mengambil masa dua hari untuk menyiapkan tulisan ayat tersebut.