PUTRAJAYA, 6 Januari- Kawalan ketat anggota polis dengan bantuan pengawal keselamatan dilaksanakan di perkarangan Istana Kehakiman hari ini susulan pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum.
Najib tiba di perkarangan Istana Kehakiman di sini kira-kira pukul 8.32 pagi untuk menghadiri prosiding tersebut.
Mahkamah Rayuan sebelum ini menetapkan tarikh hari ini bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh beliau.
Rayuan tersebut berkaitan permohonan untuk mengemukakan keterangan tambahan mengenai Titah Adendum yang didakwa telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sementara itu, tinjauan RTM mendapati keadaan di lokasi terkawal dengan pihak keselamatan memastikan kelancaran prosiding dan keselamatan semua pihak.