KUALA LUMPUR, 21 November- Pelaksanaan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga menjelang 2026 merupakan satu langkah progresif negara dalam berdepan cabaran global.
Hasil cukai itu bakal dimanfaatkan untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau.
Selain itu, pengenalan cukai tersebut akan menggalakkan inovasi dalam tenaga bersih dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang & Bank Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Abu Sufian Abu Bakar, inovasi teknologi moden dan pintar perlu digunakan dalam menerokai potensi karbon ditukar menjadi produk lain.
Malah jelasnya, manfaat itu boleh membuka peluang perniagaan yang lebih besar dan pada masa sama, mengurangkan jejak karbon.
\”Guna teknologi ini supaya boleh serap karbon jangan lepaskan karbon. Kita proses balik jadi produk lain, memang negara maju mereka anggap produk serta R&D di Malaysia perlahan, namun kita mesti menuju ke arah yang lebih baik, sebenarnya ia ada peluang perniagaan yang sangat besar, \” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan rancangan memperkenalkan cukai karbon pada pembentangan Belanjawan 2025.
Kerajaan berharap dengan langkah itu dapat menggalakkan penggunaan teknologi lebih bersih dan mampan manakala hasil cukai karbon digunakan untuk membiayai program teknologi hijau dan penyelidikan, membawa Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.