Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 21 Mei (Livevartha) — Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila kebimbangan mengenai paras fiskal AS terus menjejaskan mata wangnya.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2685/2735 berbanding dolar AS daripada 4.2950/3010 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan Moody’s Rating menurunkan penarafan kredit berdaulat AS telah menjejaskan dolar AS.
“Mata wang negara yang sedang pesat membangun lain juga meningkat berbanding dolar AS namun, perlu dilihat sama ada trend sedemikian boleh kekal atau sebaliknya,” katanya kepada Livevartha.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata hari ini ringgit bergerak seiring dengan keseluruhan kelemahan dolar AS apabila pusingan modal ke Asia semakin memperoleh momentum dan spekulasi mula timbul menjelang sidang kemuncak G7 di Kanada.
“Cakap-cakap pasaran menunjukkan Washington mungkin sedang bersiap sedia untuk mencadangkan klausa mata wang sebagai sebahagian daripada rundingan pengurangan tarif dengan Tokyo dan Beijing.
“Ini secara tidak langsung akan mendorong kenaikan yen dan yuan sebagai pertukaran kepada pengurangan ketegangan perdagangan. Jika naratif ini menjadi kenyataan, keadaan ini akan mencetuskan hala tuju penurunan dolar AS yang lebih rendah, satu keadaan yang menguntungkan ringgit,” katanya.
Ringgit juga meningkat apabila pengeksport dan pelabur institusi dilihat mengambil langkah lindung nilai terhadap peningkatan risiko fiskal AS.