Thursday , 6 February 2025
Home Ekonomi TikTok, WeChat penyedia media sosial pertama dapat lesen, manakala X, Google belum mohon
Ekonomi

TikTok, WeChat penyedia media sosial pertama dapat lesen, manakala X, Google belum mohon

TikTok, WeChat penyedia media sosial pertama dapat lesen, manakala X, Google belum mohon

LOGO TikTok dipaparkan di pejabat syarikat aplikasi media sosial di Culver City, California.- AFP

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan media sosial TikTok, ByteDance dan Tencent bagi WeChat menjadi penyedia perkhidmatan pertama diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, sehingga kini sebanyak empat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama yang beroperasi di Malaysia sudah mengemukakan permohonan untuk memperoleh lesen sama.

“Sementara itu, Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

“Meta yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp pula sudah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara dan dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya di dalam satu kenyataan.

Semalam merupakan hari pertama untuk semua platform penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial mendapatkan lesen daripada MCMC untuk terus beroperasi di dalam negara ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial. 

SKMM sebelum ini mengumumkan bahawa semua perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.

Sementara itu, SKMM berkata, aplikasi X dan Google yang mengendalikan YouTube masih belum menghantar permohonan kepadanya.

“Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan juta pengguna yang disyaratkan. Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan platform itu.

“Berhubung Google, beberapa perkara dibangkitkan mengenai ciri-ciri perkongsian video YouTube dan klasifikasinya di bawah Kerangka Pelesenan.

“MCMC sudah membincangkan isu-isu yang dibangkitkan serta akan memastikan platform itu serta semua penyedia platform yang relevan dimaklumkan dengan jelas mengenai tugas dan tanggungjawab mereka untk mematahui kerangka yang sudah berkuat kuasa itu,” jelasnya.

Tambahnya, MCMC akan menilai status penyedia platform yang masih belum memperoleh lesen yang dikehenaki dan akan akan mempertimbangkan tindakan sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelasnya, penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan pengawalseliaan.

“Keperluan pelesenan ini menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, mempertingkat perlindungan pengguna terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan rentan.

“Pada masa yang sama menambah baik pengawasan selia untuk penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

STR, SARA bantu rakyat tangani kos sara hidup

Foto LivevarthaKUALA LUMPUR, 5 Februari- Hampir RM13 bilion diperuntukkan kerajaan, bagi inisiatif...

Ekonomi

Khazanah catat keuntungan operasi RM5.1 bilion pada 2024

Foto FB Khazanah Nasional BerhadKUALA LUMPUR, 5 Februari- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah)...

Ekonomi

MITI pinda kadar duti antilambakan bagi dawai keluli dari China

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 5 Februari – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)...

Ekonomi

Penangguhan kenaikan tarif AS bantu ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 4 Februari– Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari...