Thursday , 6 February 2025
Home Ekonomi Sedia alternatif kurangkan kos modal solar
Ekonomi

Sedia alternatif kurangkan kos modal solar

Sedia alternatif kurangkan kos modal solar

MATLAMAT kerajaan memperkenalkan Program Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 (NEM3.0) untuk peralihan tenaga kepada tenaga hijau selain penjimatan.

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mencari alternatif untuk mengurangkan kos modal agar penggunaan solar menjadi pilihan sekiranya terdapat peningkatan tarif elektrik pada tahun hadapan.

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berpendapat, kenaikan tarif elektrik pasti akan memberi kesan kepada semua kategori pengguna sama ada individu mahupun korporat.

“Usaha inisiatif penjimatan tenaga dijangka mempercepat penerimagunaan solar dilihat baik namun, modal masih tinggi dalam sektor ini.

“Bagaimanapun, masih tidak pasti sama ada pengguna akan beralih ke solar. Hal ini kerana kos pemasangan solar di Malaysia masih tinggi meskipun dapat menjimatkan bil letrik dan memelihara alam sekitar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas beliau, ketika ini, terdapat pelbagai insentif untuk pengguna pasang solar bagi mengurangkan bil elektrik.

“Bagaimanapun, insentif itu dilihat kurang menarik serta tidak banyak promosi.

“Oleh itu, syarikat solar perlu menggiatkan promosi bagi menarik lebih ramai rakyat mendapat peluang menggunakan solar sekali gus dapat mengurangkan tenaga elektrik,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd. berkata, peningkatan kos elektrik dan keperluan syarikat untuk melaporkan inisiatif penjimatan tenaga dijangka mempercepat penerimagunaan solar pada 2025.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan berkata, langkah itu akan mendorong nilai perolehan kontrak dalam tangan kepada paras tertinggi sepanjang masa bagi pemain kejuruteraan solar, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Menurutnya, pendorong utama termasuk kontrak EPCC bernilai RM2.4 bilion daripada Program Tenaga Hijau Korporat 800 megawatt (MW), dengan pengiktirafan pendapatan mulai suku pertama 2025 dan kontrak EPCC pusingan bidaan solar berskala besar (LSS5) kelima bernilai RM5 bilion yang dijangka diberikan dalam tempoh sama.

“Walaupun pembida telah disenarai pendek baru-baru ini, Suruhanjaya Tenaga belum mengumumkan pemenang atau julat bidaannya yang dijangka disebabkan sensitiviti masa,” kata bank pelaburan itu.

Tambah Kenanga Investment, inisiatif ini yang dijangka mengekalkan pertumbuhan sektor berkenaan sehingga 2028, selaras dengan penurunan harga panel berikutan lebihan bekalan, meningkatkan margin kontraktor EPCC solar, dan mendorong pelaburan dalam sistem tenaga solar.

“Kami mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor ini, disokong pelaksanaan yang teguh bagi inisiatif tenaga boleh baharu oleh kerajaan dan penambahan peruntukan kuota solar,” katannya.

Ketua Pegawai Kewangan (Divisyen Kewangan Kumpulan) Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Nazmi Othman sebelum ini menjelaskan kerajaan sedang dalam semakan dan kajian semula bagi memuktamadkan jadual tarif baharu.

Jelas beliau, tarif baharu elektrik yang dikatakan membabitkan kenaikan hingga 14 peratus masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.

Justeru, tarif lama yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus digunakan pakai tanpa sebarang perubahan sehingga ada ketetapan baharu di pihak kerajaan. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

STR, SARA bantu rakyat tangani kos sara hidup

Foto LivevarthaKUALA LUMPUR, 5 Februari- Hampir RM13 bilion diperuntukkan kerajaan, bagi inisiatif...

Ekonomi

Khazanah catat keuntungan operasi RM5.1 bilion pada 2024

Foto FB Khazanah Nasional BerhadKUALA LUMPUR, 5 Februari- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah)...

Ekonomi

MITI pinda kadar duti antilambakan bagi dawai keluli dari China

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 5 Februari – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)...

Ekonomi

Penangguhan kenaikan tarif AS bantu ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 4 Februari– Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari...