Home Ekonomi OPR pernah diturunkan ketika ekonomi stabil
Ekonomi

OPR pernah diturunkan ketika ekonomi stabil

OPR pernah diturunkan ketika ekonomi stabil

PETALING JAYA: Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pernah berlaku dalam situasi ketidaktentuan global, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana dan inflasi yang terkawal, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB). 

Firma penyelidikan itu berkata, selain semasa krisis ekonomi besar seperti Krisis Kewangan Global (2008-2009) dan pandemik Covid-19 (2020), OPR juga diturunkan pada sebanyak 25 mata asas pada Julai 2016 dan Mei 2019 ketika ekonomi tidak meleset. 

“Pada Julai 2016, pemotongan OPR berlaku tidak lama selepas referendeum Brexit, apabila majoriti mengundi supaya United Kingdom (UK) meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) juga membuat keputusan untuk melonggarkan dasar di tengah-tengah memuncaknya ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China pada Mei 2019,” katanya dalam nota kajian.

Katanya, keadaaan yang sama pada kedua-dua waktu itu adalah penurunan dari segi pertumbuhan kredit. 

“Sama dengan keadaan kali ini, pertumbuhan pinjaman sistem perbankan mula perlahan pada suku keempat 2024 dan berterusan ke suku pertama 2025, walaupun kadar penurunan masih sederhana buat masa ini. 

“Satu perkembangan positif terletak pada pasaran buruh tempatan, yang memasuki tempoh ketidaktentuan ini daripada kedudukan yang kukuh, dengan kadar pengangguran yang secara relatif rendah sebanyak 3.1 peratus pada Februari 2025, berbeza dengan pasaran buruh yang sedikit lebih lemah sebelum pemotongan kadar faedah pada Julai 2016 dan Mei 2019,” katanya.

BNM akan memutuskan OPR dalam mesyuarat MPC kali ketiga 2025 pada Khamis ini.

Dalam dua mesyuarat terdahulu, bank pusat mengekalkan kadar penanda aras pinjaman domestik itu pada 3.00 peratus.

Pada mesyuarat Mac lalu, MPC melihat pendirian dasar monetari semasa sebagai menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian inflasi serta pertumbuhan ekonomi pada masa itu.

Sejak mesyuarat itu, tarif yang dikenakan oleh AS terhadap negara-negara di seluruh dunia telah menyebabkan tinjauan pertumbuhan ekonomi global terkesan. – UTUSAN

Related Articles

CBP, Perkeso tawar perlindungan SKSSR kepada suri rumah
Ekonomi

CBP, Perkeso tawar perlindungan SKSSR kepada suri rumah

KHAIRIL ANUAR MOHAMMAD ANUARPETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) menjalinkan kerjasama strategik bersama...

SAG catat premium 9.68 peratus di Pasaran ACE
Ekonomi

SAG catat premium 9.68 peratus di Pasaran ACE

DARREN Chang (tengah) ketika sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran...

Tealive yakin capai sasaran tembusi 13 negara tahun ini
Ekonomi

Tealive yakin capai sasaran tembusi 13 negara tahun ini

BRYAN LOO (depan, tiga dari kanan) bersama Khairy Jamaluddin (empat dari kiri)...

Tarif import aluminium 50% cetus kebimbangan pemain industri
Ekonomi

Tarif import aluminium 50% cetus kebimbangan pemain industri

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Tindakan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan...