KUALA LUMPUR, 7 Januari – Malaysia memberi sokongan penuh terhadap hasrat Indonesia untuk meneruskan mandat biodiesel B40, meskipun terdapat kelewatan dalam pelaksanaannya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pelaksanaan campuran biodiesel yang lebih tinggi akan memberi sokongan besar kepada industri minyak sawit secara keseluruhannya.
“Indonesia menghasilkan kira-kira 48 juta tan metrik minyak sawit setiap tahun, dan hampir 25 peratus daripada jumlah itu digunakan untuk pengeluaran biodiesel.
\”Jika mereka tidak menggunakan biodiesel, 25 peratus itu perlu dihantar ke pasaran dunia, yang akan memberi tekanan kepada harga,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) antara FGV Holdings Bhd dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di ibu negara.
Johari turut menjelaskan bahawa Indonesia kini berada pada tahap penggunaan biodiesel B40, manakala Malaysia masih pada tahap B10, yang jauh lebih rendah.
Sebelum ini, kerajaan Indonesia merancang untuk mewajibkan campuran 40 peratus bahan api berasaskan minyak sawit dalam biodiesel mulai 1 Januari, menggantikan campuran 35 peratus yang sedang berkuat kuasa.
Namun, pelaksanaan tersebut masih tertangguh kerana industri menunggu butiran teknikal peraturan baharu itu.
Dalam perkembangan lain, Johari berkata FGV Holdings Bhd (FGV) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menandatangani Memorandum Kolaborasi (MoC) untuk mempertingkat kebolehkesanan dan memperkasa pekebun kecil dalam industri minyak sawit.
Kerjasama itu memfokuskan kepada ketelusan data dan maklumat pemetaan poligon melalui portal GeoPALM untuk memastikan pematuhan piawaian antarabangsa.
Katanya, integrasi data geospatial akan memberikan akses kepada pekebun kecil, pemain industri, dan penggubal dasar untuk mendapatkan maklumat relevan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan, termasuk pematuhan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Ini, katanya, akan meningkatkan kredibiliti global minyak sawit Malaysia.
“Sudah tentu apabila kita eksport produk kita, kita mesti memenuhi permintaan pasaran. Di negara-negara maju, mereka mempunyai permintaan yang tinggi untuk pengeluaran yang dipanggil ‘sustainable’.
\”Kerajaan kita, MPOB, dan syarikat-syarikat besar, sama ada suka atau tidak, kita terpaksa memenuhi permintaan atau syarat-syarat untuk mengekspot kelapa sawit kita,” katanya.