Thursday , 9 January 2025
Home Ekonomi JS-SEZ lonjak Johor sebagai destinasi pelaburan utama Asia Tenggara
Ekonomi

JS-SEZ lonjak Johor sebagai destinasi pelaburan utama Asia Tenggara

JS-SEZ lonjak Johor sebagai destinasi pelaburan utama Asia Tenggara

PETALING JAYA: Pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi pencetus era baharu pertumbuhan ekonomi dan kerjasama rentas sempadan, kata Iskandar Investment Berhad (IIB).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idzham Mohd. Hashim berkata, ia membuka ruang kepada peluang lebih besar yang bakal menawarkan manfaat signifikan kepada Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya.

Katanya, sebagai penggerak utama dalam pembangunan ekonomi Johor, IIB kekal teguh dengan komitmennya terhadap potensi luar biasa yang bakal diwujudkan oleh JS-SEZ untuk perniagaan dan komuniti setempat.

“IIB mengalu-alukan penubuhan JS-SEZ, inisiatif transformatif yang berpotensi melonjak kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara.

“Zon ekonomi khas ini dirangka untuk memacu pertumbuhan lestari dengan tumpuan strategik kepada sektor utama termasuk pendidikan, ekonomi hijau dan industri transformatif seperti tenaga.

“Lebih menarik, industri pusat data dijangka berkembang pesat menerusi penyertaan firma teknologi terkemuka, menjadikan Johor sebagai peneraju global dalam infrastruktur digital dan inovasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif ini selari dengan visi bersama Malaysia dan Singapura dalam aspek kelestarian dan integrasi serantau yang turut disokong Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka beroperasi menjelang 2026.

Menurutnya, dengan kapasiti membawa 20,000 penumpang sejam, RTS bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan, malah menonjolkan kepentingan kerjasama rentas sempadan yang lancar di rantau ASEAN.

“Kelestarian merupakan tunjang kepada kerjasama strategik yang memacu pembentukan JS-SEZ dengan kerjasama rentas sempadan yang kukuh ini menjadi agenda utama dalam
usaha merealisasikan potensi kuasa ekonomi ASEAN.

“Bersempena penubuhan rasmi JS-SEZ, dua memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai melibatkan bidang kredit karbon serta penangkapan dan penyimpanan karbon.

“Dalam pada itu, inisiatif Bandar Karbon Sifar Bersih IIB menjadi pelengkap kepada usaha ini dengan menumpukan kepada penyelesaian tenaga boleh diperbaharui dan pemuliharaan alam sekitar di Iskandar Puteri,” jelasnya.

Idzham berkata, IIB kekal komited dalam membina sinergi bersama pemegang taruh, termasuk agensi kerajaan dan rakan niaga antarabangsa, bagi merealisasikan kejayaan JS-SEZ.

“Melalui promosi pelaburan strategik, peningkatan infrastruktur berkualiti dan penekanan terhadap kelestarian, inisiatif ini berpotensi menjadikan Iskandar Puteri sebagai penanda aras global untuk inovasi dan pertumbuhan serantau,” jelasnya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka tidak berubah berbanding Dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 9 Januari– Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar US...

Swift Energy catat premium 28.6% di Pasaran ACE
Ekonomi

Swift Energy catat premium 28.6% di Pasaran ACE

TAN Bin Chee (lima dari kiri) bersama barisan pengurusan Swift Energy selepas...

Minat membeli pada 2025 kekal sihat, prospek kekal positif
Ekonomi

Minat membeli pada 2025 kekal sihat, prospek kekal positif

Keterujaan orang ramai untuk membeli rumah mampu milik mendedahkan mereka kepada ejen...

JS-SEZ tarik pelaburan, lancar pergerakan Malaysia, Singapura
Ekonomi

JS-SEZ tarik pelaburan, lancar pergerakan Malaysia, Singapura

Kesesakan lalulintas di Tambak Johor terutama pada hujung minggu berikutan kira-kira 100,000...