PETALING JAYA: Pelabur disaran menerima tawaran RM11 sesaham dalam Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB) yang ditawarkan Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA) yang mencerminkan premium 18 peratus berbanding nilai saham sebenar mereka pada RM9.32.
MIDF Amanah Investment Bank Berhad berkata, ia juga menawarkan premium yang besar sebanyak 125 peratus berbanding aset bersih sesaham yang belum diaudit terkini sebanyak RM4.89 pada akhir suku ketiga tahun kewangan 2024.
Jelasnya, pada masa ini, saham itu dinilai pada 7.1 kali unjuran nilai perusahaan berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahun kewangan 2024, berdasarkan harga penutup terakhirnya.
“MAHB dijangka melakukan perbelanjaan modal yang besar pada tahun-tahun akan datang untuk pembesaran dan pembangunan lapangan terbang kerana ia bersiap sedia untuk memenuhi permintaan trafik penumpang yang semakin meningkat.
“Ini boleh membawa kepada tempoh ‘gestation’ (tempoh sebelum daya tarikan) yang lebih lama untuk pendapatan, ditambah pula dengan pertimbangan berterusan di sekitar rangka kerja kawal selia,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan itu berkata, setakat ini, butiran mengenai rangka kerja kawal selia untuk tempoh kawal selia kedua (RP2) mulai 1 Januari 2027, termasuk peralihan kepada pendekatan berasaskan kos untuk menentukan caj perkhidmatan penerbangan masih belum digariskan.
“Mengenai pemulihan trafik penumpang, berdasarkan angka terkini, November 2024 menunjukkan peningkatan ketara dengan kedua-dua operasi Malaysia dan Turki mencapai pertumbuhan dua angka berbanding tempoh yang sama tahun lepas, walaupun pada kebiasaannya musim rendah.
“Jumlah pergerakan penumpang mencecah 11.2 juta atau 96.7 peratus daripada tahap pra pandemik, menonjolkan pemulihan kukuh dalam permintaan perjalanan,” jelasnya.
Terdahulu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sekutunya telah melupuskan 119.25 juta saham atau 7.15 peratus pegangan dalam MAHB, lanjutan tawaran pengambilalihan oleh GDA.
Dalam pemfailan MAHB di Bursa Malaysia, saham itu telah dilupuskan pada 6 Januari pada harga RM11 sesaham.
GDA yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd., Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) telah memegang 70.1 peratus dalam MAHB setakat 5 petang pada 6 Januari, dengan 5.65 peratus penerimaan belum selesai.
Melalui pelupusan KWAP ini, GDA telah berkesan memegang 75.73 peratus daripada jumlah saham terbitan dalam MAHB.
Pelupusan KWAP dibuat selepas tarikh akhir untuk menerima tawaran pengambilalihan oleh GDA, Pantai Panorama Sdn. Bhd., Kwasa Aktif Sdn. Bhd. dan GIP Aurea Pte Ltd bagi saham yang belum dimiliki oleh penawar dilanjutkan kepada 17 Januari 2025.