Home Pasaran Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Ketika Sentimen Risiko Global Semakin Baik
Pasaran

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Ketika Sentimen Risiko Global Semakin Baik

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Ketika Sentimen Risiko Global Semakin Baik

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Livevartha) — Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Isnin berikutan sentimen risiko global yang lebih baik, kata penganalisis.

Rakan Kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas diniagakan menyusut pada sepanjang hari dagangan walaupun ketegangan antara Israel-Iran pada akhir minggu lepas menyebabkan ia dibuka lebih tinggi.

Beliau berkata penurunan itu berikutan pasaran menilai semula situasi ancaman segera — gangguan bekalan minyak — dijangka tidak berlaku pada masa ini, menyebabkan harga emas dan minyak mentah mula menyusut semula sehinggakan kebimbangan pelabur reda terhadap risiko geopolitik.

“Aliran berisiko telah mengurangkan permintaan terhadap aset selamat seperti emas. Buat masa ini, pergerakan harga emas lebih dipengaruhi oleh minyak berbanding Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, dengan mesyuarat Rizab Persekutuan AS dan pertemuan menteri kewangan G7 di Kanada pada minggu ini, jadual program ekonomi utama minggu ini adalah padat, dan ketidaktentuan dijangka terus meningkat,” kata Innes kepada Livevartha.

Beliau berkata harga emas akan berlegar dalam julat yang lebih luas antara US$3,375 hingga US$3,475 bagi setiap auns troy, dengan sebarang penurunan dijangka menarik minat belian susulan kelemahan dolar AS dan kebimbangan berterusan terhadap defisit fiskal AS yang semakin meningkat.

Kontrak bulan semerta Jun 2025 susut kepada US$3,425.2 setiap auns troy daripada US$3,430.2 pada Jumaat manakala Julai 2025 turun kepada US$3,433.7 daripada US$3,438.7 sebelumnya.

Kontrak Ogos, September dan Oktober 2025 merosot kepada US$3,453.2 setiap auns troy daripada US$3,458.2 pada Jumaat.

Related Articles

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Susulan Aktiviti Jualan Sederhana
Pasaran

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Susulan Aktiviti Jualan Sederhana

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani KUALA LUMPUR, 17 Jun (Livevartha) — Bursa...

Ringgit Diniagakan Mendatar Pada Sesi Awal Susulan Sentimen Berhati-hati
Pasaran

Ringgit Diniagakan Mendatar Pada Sesi Awal Susulan Sentimen Berhati-hati

Oleh Anas Abu Hassan dan Fatin Umairah Abdul Hamid KUALA LUMPUR, 17...

Ringgit Diniagakan Mendatar Pada Sesi Awal Susulan Sentimen Berhati-hati
Pasaran

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Dalam Ketegangan Geopolitik

Oleh Karina Imran and Fatin Umairah Abdul Hamid KUALA LUMPUR, 16 Jun...

Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS Ekoran Ketidaktentuan Memuncak
Pasaran

Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS Ekoran Ketidaktentuan Memuncak

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid KUALA LUMPUR, 16 Jun (Livevartha) — Ringgit ditutup...