Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR,22Jan (Livevartha) –Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)pada Rabu, disokong oleh data yang menunjukkan penurunan kadar inflasi Malaysia, kata ahli ekonomi.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia bagi Disember 2024 turun kepada 1.7 peratus, berbanding kadar tahunan 1.8 peratus bagi 2024.
Pada pukul 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4340/4400 berbanding dolar AS daripada 4.4730/4780 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata di peringkat domestik, inflasi yang rendah pada 1.7 peratus bagi Disember 2024 dan 1.8 peratus bagi keseluruhan 2024, menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang dengan baik.
“Ekonomi mampu berkembang melebihi lima peratus pada 2024 manakala kadar inflasi kekal terkawal. Oleh itu, secara asasnya, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan baik, dan dijangka menarik dana asing untuk datang dan melabur di Malaysia,” katanya kepada Livevartha.
Beliau berkata ketidaktentuan luaran yang tinggi mungkin telah mengekang minat risiko pelabur asing terhadap Malaysia buat masa ini.
Mohd Afzanizam berkata isu yang berkaitan dengan dasar Presiden AS Donald Trump terus mempengaruhi sentimen pasaran.
“Nampaknya kemungkinan pengenaan tarif import ke atas China dijangka lebih ringan, dan pentadbiran semasa AS berhati-hati untuk menggunakan tarif sebagai satu instrumen dasar secara terburu-buru,” katanya.