Thursday , 6 February 2025
Home Ekonomi Funding Societies, foodpanda tawar kadar pembiayaan 2% setahun untuk peniaga Bumiputera
Ekonomi

Funding Societies, foodpanda tawar kadar pembiayaan 2% setahun untuk peniaga Bumiputera

Funding Societies, foodpanda tawar kadar pembiayaan 2% setahun untuk peniaga Bumiputera

CHAI KIEN POON

PETALING JAYA: Funding Societies, melanjutkan kerjasama dengan Delivery Hero (M) Sdn. Bhd., (yang sebelum ini dikenali sebagai Foodpanda (M) Sdn. Bhd.) bagi mendapat akses pembiayaan sehingga RM100,000 pada kadar tahunan dua peratus dengan tempoh pembiayaan fleksibel sehingga 24 bulan untuk peniaga Bumiputera foodpanda yang layak.

Inisiatif jangka masa terhad itu bertujuan memperkasakan usahawan tempatan dengan modal yang diperlukan untuk berkembang dan berjaya dalam pasaran yang serba mencabar.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata, menurut Jabatan Perangkaan, sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pendapatan berjumlah RM2.3 trilion pada 2023, peningkatan sebanyak 8.4 peratus ketimbang RM2.1 trilion pada 2022.

“Di sebalik pertumbuhan ini, terdapat subsektor yang masih belum pulih ke tahap pendapatan pra pandemik (2019) seperti subsektor makanan dan minuman (1.4 peratus).

“Dalam situasi ini, akses kepada aliran tunai amat penting, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kami berharap kerjasama antara Funding Societies dan foodpanda ini dapat membantu dan meningkatkan skala PMKS yang kurang mendapat perhatian dan memiliki kelayakan kredit dalam industri ini dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya yakin pembiayaan mampu milik itu dapat membantu peniaga makanan menambah bekalan stok dan membuat persiapan lebih baik untuk pertumbuhan musim akan datang.

“Ini terutamanya dalam menghadapi kenaikan kos sayur-sayuran asas akibat bencana banjir baru-baru ini dan menjelang musim perayaan yang semakin hampir,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk berkata, foodpanda komited untuk memperkasakan peniaga dengan alatan serta sumber yang mereka perlukan untuk terus maju dalam pasaran yang serba mencabar.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan akses kepada modal yang sangat diperlukan pada kadar mampu milik, tetapi turut mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap usaha menyokong usahawan tempatan.

“Ini terutamanya ketika mereka sedang bersiap sedia untuk menghadapi musim perayaan akan datang dan berharap dapat memacu pertumbuhan bermakna dan kedayatahanan komuniti peniaga foodpanda kami,” katanya.

Di bawah tawaran ini, PKS Bumiputera boleh memohon pembiayaan patuh syariah dengan hanya mengemukakan dua dokumen iaitu dokumen pengenalan (untuk pengarah dan syarikat) dan penyata bank selama enam bulan.

Permohonan dibuat secara digital sepenuhnya, dengan keputusan diberikan dalam tempoh beberapa hari dengan memenuhi syarat-syarat yang dikenakan. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

STR, SARA bantu rakyat tangani kos sara hidup

Foto LivevarthaKUALA LUMPUR, 5 Februari- Hampir RM13 bilion diperuntukkan kerajaan, bagi inisiatif...

Ekonomi

Khazanah catat keuntungan operasi RM5.1 bilion pada 2024

Foto FB Khazanah Nasional BerhadKUALA LUMPUR, 5 Februari- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah)...

Ekonomi

MITI pinda kadar duti antilambakan bagi dawai keluli dari China

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 5 Februari – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)...

Ekonomi

Penangguhan kenaikan tarif AS bantu ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 4 Februari– Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari...