SHAH ALAM, 2 Januari– Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berpuas hati dengan keterangan dua kakitangannya yang didakwa meluluskan kenderaan tidak selamat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata dua kakitangan itu tidak pernah menimbulkan masalah kerja sebelum ini.
Beliau juga menegaskan bahawa Puspakom tidak akan melindungi kakitangan terlibat, terhadap sebarang tindakan disiplin sekiranya terbukti bersalah.
\”Kalau terbukti kakitangan mengambil rasuah. Kita ada peruntukan untuk kita laporkan kepada pihak berkuasa dahulu. Jadi, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Di pihak Puspakom, siasatan dalaman akan kita lakukan. Kita akan ambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan atau enakmen sedia ada. Tidak menolak untuk di buang kerja,\” kata Mahmood Razak kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang khas mengenai Ops Gempur JPJ di cawangan Puspakom seluruh negara.
Setakat ini, hanya empat kakitangan Puspakom Cawangan Wangsa Maju telah memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung Op Mengejut, baru-baru ini.
Dua orang telah memberi keterangan pada dua hari lalu manakala dua lagi kakitangan hadir di JPJ Putrajaya pada hari ini, ditemani seorang wakil Puspakom.
Dalam sidang media yang sama, Mahmood turut menjelaskan Puspakom sehingga kini tidak menerima apa-apa saman daripada JPJ sepanjang Op Mengejut yang kini telah memasuki hari ketiga.