Home Politik Tun M saman Ahmad Zahid selepas dihina secara peribadi
Politik

Tun M saman Ahmad Zahid selepas dihina secara peribadi

DR Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR:  Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, beliau menyaman Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana Timbalan Perdana Menteri menghinanya secara peribadi dengan membangkitkan `isu kutty’ yang menyentuh keturunannya.

Bekas Perdana Menteri memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau mengambil tindakan undang-undang tersebut selepas tiga bulan Presiden UMNO itu menyamannya pada April 2022.

Dr. Mahathir, 99, menjelaskan, saman terhadap Ahmad Zahid dibuat antaranya kerana kenyataan defendan berunsur pembohongan dan menggambarkan seolah-olah beliau (plaintif) bukan Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, masyarakat Melayu tidak meletakkan `anak lelaki’ sebaliknya menggunakan perkataan `bin’ pada nama.

Tegas Dr. Mahathir, dengan menggunakan perkataan `anak lelaki Iskandar Kutty’ seolah-olah membayangkan bahawa beliau bukan Melayu.

“Nama saya Mahathir Mohamad. `Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ yang didakwa tertera pada kad pengenalan berwarna biru itu tidak benar,”  ujar beliau ketika disoal balas oleh peguam Mohd. Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid.

Bekas Perdana Menteri memberi keterangan pada perbicaraan kes saman terhadap Ahmad Zahid kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu yang mempersoal keturunan dan perjuangan politik beliau ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya, tujuh tahun lalu.

Pada prosiding itu, Mohd. Shahrul Fazli turut mempertikai mengapa Dr. Mahathir mengambil masa lima tahun untuk menyaman Ahmad Zahid walhal tindakan pantas perlu diambil untuk memperbetul dakwaan yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri menegaskan, beliau mempunyai hak untuk mengemukakan tindakan saman yang didakwa menghinanya kerana masyarakat masih mengingati isu yang dibangkitkan apatah lagi dituturkan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri.

“Orang lain boleh memanggil saya apapun, itu tidak mengapa kerana mereka bukan Timbalan Perdana Menteri.  Siapa hendak percaya,” ujar beliau.

Dr. Mahathir selanjutnya berkata, komen peribadi Ahmad Zahid menjatuhkan namanya sebagai pemimpin politik menyebabkan parti yang dipimpinnya mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengapa beliau tidak menyaman Ahmad Zahid sebelum itu, plaintif menyatakan di antara 2018 dan 2022 beliau sibuk melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri.– UTUSAN

Related Articles

Politik

Mohammed Shazalli Ramli dilantik Penasihat Media & Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri

MOHAMMED SHAZALLI RAMLIPUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dilantik sebagai Penasihat Media...

Politik

Kastam rampas kretek, arak, ethanol kenderaan import bernilai lebih RM11 juta

ANIS Rizana Mohd. Zainudin menunjukkan antara kereta mewah yang dirampas dalam pelbagai...

Politik

Dr. Chong pertahan jawatan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu

DR. CHONG FAT FULLPETALING JAYA: Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia...

Politik

Parlimen: Belanjawan 2025, isu kewarganegaraan antara tumpuan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat ketiga Dewan Rakyat penggal ketiga Parlimen Ke-15 bersidang 35...