Friday , 20 September 2024
Home Politik Tiada keperluan kemuka bukti kepada UMNO – Jailani
Politik

Tiada keperluan kemuka bukti kepada UMNO – Jailani

Tiada keperluan kemuka bukti kepada UMNO – Jailani

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk mengemukakan sebarang bukti kepada UMNO berhubung tindakannya menyertai Pas sejak 2023.

Muhammad Jailani berkata, tiada apa yang perlu diperjelaskan mengenai status keahliannya dalam Pas kerana telah diumumkan secara terbuka melalui sidang akhbar di Parlimen, Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu.

Ketika ditanya berhubung kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum bahawa keputusan berkenaan status kerusi DUN Rembia telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN, 16 Ogos lalu dan bakal diumumkan pada Sidang DUN akan datang, Muhammad Jailani berkata, ia merupakan bidang kuasa Yang Dipertua DUN.

“Biarlah mereka buat (keputusan). Saya pilih untuk tidak menjawab kepada UMNO, kerana pengumuman telah dilakukan secara terbuka melalui sidang akhbar.

“Malah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sendiri yang menjelaskan sendiri kedudukan saya. Apa keperluan untuk saya kemukakan bukti kepada UMNO?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, status ADUN Rembia telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilih DUN, tetapi akan diumumkan kemudian.

Ibrahim berkata, nasib bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri itu hanya diumumkan pada Sidang DUN akan datang.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Ab. Rauf Yusoh dilaporkan berkata, Muhammad Jailani perlu mengemukakan bukti telah menyertai Pas sejak 2023, sebelum Sidang DUN pada November ini.

Tegas Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Muhammad Jailani perlu memberikan butir-butir terperinci tentang kedudukan dalam Pas sebelum sebarang keputusan dibuat terhadapnya. – UTUSAN

Related Articles

BN Sabah perhalusi kerjasama dengan PH menjelang PRN17
Politik

BN Sabah perhalusi kerjasama dengan PH menjelang PRN17

BUNG Moktar Radin (dua kiri) semasa hadir mempengerusikan Mesyuarat UMNO Sabah di...

PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah
Politik

PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah

MAHFUZ OMARALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan menyokong sepenuh­nya calon...

PRK Mahkota: PN umum calon malam ini
Politik

PRK Mahkota: PN umum calon malam ini

MUHYIDDIN YASSINKLUANG: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon yang mewakili parti itu...

PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, namun tetap semangat
Politik

PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, namun tetap semangat

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan...