Monday , 23 December 2024
Home Politik STAR tolak propaganda lemahkan perpaduan dalam GRS
Politik

STAR tolak propaganda lemahkan perpaduan dalam GRS

JEFFREY Kitingan menandatangai plak perasmian Pejabat STAR Bahagian Moyog di Penampang, hari ini.

PENAMPANG: Propaganda yang menyatakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) disifatkan sebagai rancangan untuk melemahkan perpaduan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, biarpun dalam politik sebarang kemungkinan boleh berlaku namun, apa yang diperkatakan sekarang itu hanya satu provokasi atau propaganda untuk melemahkan perpaduan dalam GRS.

Beliau, yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata, pada masa ini keutamaan adalah kerjasama antara STAR-PBS. Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kedua-dua parti sedang melihat kepada tambahan kerusi untuk ditandingi.

“Namun, ia belum lagi dimuktamadkan. Kami sedang menilai pelbagai pilihan dan kemungkinan di kawasan mana kami boleh menang. Tiada guna bertanding kalau tidak menang. Rancangan kami adalah menentukan kawasan mana yang kami boleh menang,” katanya semasa merasmikan Pejabat STAR Bahagian Moyog, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Jeffrey berkata, kerjasama dengan parti-parti komponen GRS amat penting dan STAR amat memerlukan sokongan dan khidmat mereka.

Sekiranya STAR-PBS bekerjasama sejak dari dahulu, mereka boleh memenangi 23 kerusi yang diberikan pada PRN lalu. Namun, ketika itu, STAR hanya diberikan lapan kerusi dan enam kerusi berjaya dimenangi.

Maka, menjelang PRN akan datang, beliau melihat kerjasama yang terjalin antara STAR-PBS mampu membolehkan mereka mencipta kejayaan. 

Mengulas lanjut katanya, parti-parti di Sabah perlu bersatu agar hak-hak Sabah dapat dikembalikan, ia termasuk tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Apa guna kita berada dalam Malaysia kalau perjanjian itu tidak ditunaikan. Di bawah pemerintahan Perdana Menteri sekarang, beliau memberi jaminan MA63 akan dilaksanakan. Dengan jaminan itu, kita mesti bersatu untuk mendesak supaya ia dilaksanakan. Perjuangan MA63 perlukan pengorbanan,” katanya.

Jelas beliau, rakyat Sabah perlu dididik tentang isu MA63 agar mereka tahu hak-hak yang diperjuangkan. Selama ini rakyat tidak tahu kerana pemimpin takut untuk perjuangkan tuntutan MA63.

“Kita terlalu bermain politik. Apabila diberi jawatan, diam-diam sudah, tidak berani bersuara. Itu sebabnya kita tidak dapat menuntut hak-hak kita. Jika kita masih tersekat pada isu MA63 maka, kita tidak akan maju,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...