Wednesday , 25 December 2024
Home Politik Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun elak tindih fungsi, jimat dana
Politik

Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun elak tindih fungsi, jimat dana

Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun elak tindih fungsi, jimat dana

ANWAR Ibrahim ketika hadir perhimpunan bulanan MOF di Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Seketariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan dalam menangani isu pertindihan fungsi dan dan penjimatan dana negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada langkah reformasi perkhidmatan awam dan badan bekanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, badan berkanun itu terlalu banyak, malah bertindih dan menjadi punca kepada keterlanjuran kewangan sehingga berlaku banyak pembaziran.

“Saya telah putuskan  baru-baru ini untuk MOF mewakili kerajaan keseluruhannya membentuk jawatankuasa dua hala, jawatankuasa mengemaskini rasionalisasi badan berkanun.

“Badan berkanun itu terlalu banyak dan bertindih dan sukar untuk (diuruskan). Rasionalisasi maknanya kurangkan dan keterlanjurannya pun banyak, belanjanya pun banyak,” katanya ketika berucap dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah reformasi itu turut terkait dengan pemantauan dengan teliti semua lantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah di badan-badan berkanun dan GLC bagi memastikan tatakelola pengurusan kewangan baik.

Ini kerana katanya, sesetengah mereka yang memegang jawatan itu menganggap kedudukan sebagai satu habuan dan mempamerkan kemewahan, sedangkan ia adalah dari dana rakyat dan negara.

“Jadi sebab itu pemantauan itu harus lebih teliti. Apabila lantik pengerusi baharu, yang pertama dia pastikan kereta apa, pejabat diubah sedangkan pejabat itu sudah cantik.

“Pejabat Menteri Kewangan, saya kata tak payah tukar, tak payah pinda, (kerana) ada dalam kalangan kita lupa, ini adalah amanah,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, antara langkah reformasi lain ialah seseorang itu tidak boleh menduduki terlalu banyak jawatan.

Katanya, mereka yang menganggotai lembaga pengarah juga perlu diberikan latihan termasuk dari segi pengurusan kewangan.

Maka, kata beliau, semua agensi ini dan badan berkanun akan ada wakil Kementerian Kewangan untuk memantau pengurusan kewangan dan tatakelola yang baik.

“Saya nak bagi peringatan, kalau nampak ada kecelaruan dalam memilih agensi, anggota (pegawai (Kementerian Kewangan) itu akan diharamkan dari menduduki mana-mana lembaga selepas itu, jadi ada kebertanggungjawaban.

“Kalau tidak kita bagi arahan, keadaan (sama) akan terus berlaku,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...