Thursday , 26 December 2024
Home Politik Saya terima jika kalah – Ahmad Faizal
Politik

Saya terima jika kalah – Ahmad Faizal

AHMAD Faizal Azumu berucap pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tambun 2024 di Ipoh semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berlapang dada sekiranya tidak terpilih bagi jawatan naib presiden pada pemilihan parti itu untuk sesi penggal 2024-2027.

Menurut beliau, kalah atau menang tidak menjadi soal kerana apa yang penting adalah melaksanakan tanggungjawab kepada parti dalam apa juga kapasiti.

“Saya fikir peluang kepada semua calon naib presiden sama rata kerana saya percaya semua orang berharap dipilih untuk menabur bakti, begitu juga saya.

“Tetapi apa juga keputusan, saya fikir kami perlu menerima dengan hati terbuka dan meneruskan usaha untuk memberi khidmat bakti kepada parti dalam apa juga kapasiti,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tambun 2024 di sini semalam.

Selain Ahmad Faizal yang merupakan penyandang jawatan Timbalan Presiden, lima lagi calon yang bertanding bagi jawatan naib presiden ialah A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd. Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd. Rafiq Abdullah.

Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, warga Tambun khususnya penyokong beliau juga diminta supaya bertenang dan menerima keputusan sekiranya dia kalah pada pemilihan jawatan tersebut.

Menurut beliau, kekalahan dalam merebut jawatan tidak sepatutnya mewujudkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah memperkuatkan parti. Jangan pula apabila kita tewas, kita melemahkan parti. Jadi, niat awal untuk menguatkan itu kita teruskan, apa juga keputusan terima dengan baik.

“Bagi keluarga besar di Tambun, kalau ditakdirkan saya tidak terpilih, kita tenang sahaja.

“Mungkin hikmahnya untuk saya lebih fokus di Bahagian Tambun tidak seperti sebelum ini sebagai timbalan presiden, masa saya banyak di Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tambun selain 14 lagi bahagian lain termasuk Pasir Salak, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Gopeng, Larut, Lenggong, Bagan Serai, Parit, Tanjung Malim, Bagan Datuk, Bukit Gantang, Beruas, Padang Rengas dan Parit Buntar. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...