Tukang urut dari Kampung Jeram Tekoh, Azizah Ibrahim
GUA MUSANG, 9 Ogos (Livevartha) — Membentuk hampir separuh populasi penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggeri, golongan wanita di sini tidak mahuketinggalan untuk menyumbang dalam sektor ekonomi setempat dan menjana pendapatan untuk keluarga.
Kebanyakan penduduk wanita di sini, menyatakan kesediaan mereka untuk memasuki kursus dan kelas bagi mempelajari kemahiran baharu yang boleh digunakan untuk menambah pendapatan.
Tukang urut dari Kampung Jeram Tekoh, Azizah Ibrahim, 52, berkata jarak yang jauh antara perkampungan di DUN itu dan pusat komersial di bandar Gua Musang, menyebabkan mereka sukar untuk berulang-alik.
Justeru katanya ramai golongan wanita di sini memilih untuk kekal bekerja sendiri atau mengambil upah di kawasan penempatan mereka untuk menyara keluarga.
"Seharusnya lebih banyak program atau kursus kemahiran, seperti masakan dan kelas jahitan, dianjurkan kepada golongan wanita di DUN Nenggiri untuk membantu mereka menjana pendapatan."
"Jika tidak mampu bekerja, sekurang-kurangnya mereka sudah ada asas untuk menjalankan kerja lain dengan kemahiran dan bimbingan berterusan yang diberikan oleh pihak agensi berkaitan," katanya ketika ditemui Livevartha di kampungnya,di sini.
DUN Nenggiri yang berkeluasan hampir dua kali ganda negeri Melaka dan kini berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK)mempunyai seramai 20,259 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu seramai 9,938 orang atau 49.05 peratus merupakan pengundi wanita.
DUN berkenaan, yang dikelilingi bukit-bukau dan hutan,tidak mempunyai pusat komersial sendiri dengan. Kebanyakan penduduknya,menjana pendapatan daripada pertanian, penternakan dan bekerja sendiri.
Sementara itu, penoreh getah di Kampung Renok, Siti Noraini Mamat, 48, berharap agar bantuan dan program dianjurkan sama rata di setiap perkampungan.
"Kalau ada program yang dianjurkan di kampung kami, biarlah kampung lain juga merasai manfaat yang sama. Tidak semua orang dekat kampung ini dapat pergi ke kampung sebelah untuk menyertai program tersebut," katanya.
PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan, dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK ini diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim,digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
— Livevartha