Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri Nik Raisnan Daud (tengah) ketika mengumumkan percalonan yang diwakili oleh calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Rizwadi Ismail (kanan) di Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri yang bertempat di Dewan Perdana Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang hari ini.
SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing- masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.
— fotoLivevartha (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
GUA MUSANG, 3 Ogos (Livevartha) — Membesar di Gua Musang,Awi atau nama sebenarnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap dapat diberikan peluang mewakili penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Mohd Azmawi Fikri, 38,merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri mewakili Kerajaan Perpaduan.
“Kepada pengundi DUN Nenggiri, beri saya peluang. Saya akan lakukan yang terbaik sebagai wakil mereka (pengundi) di DUN Nenggiri nanti, insya-Allah,” katanya kepada pemberita sebaik selesai proses penamaan calon, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia itu akan menghadapi lawannya calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam PRK berkenaan.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pernah muncul johan Anugerah Belia Perdana Kelantan (Persatuan) pada 2022.
Sementara itu, Mohd Rizwadi, 41, berkata beliau akan berusaha untuk mengekalkan kerusi DUN Nenggiri.
Bapa kepada lima cahaya mata itu merupakan bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang dan menyertai Bersatu sebelum dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) untuk PRK berkenaan.
PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos kerana keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen.
Sementara itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 16 Ogos.
Kerusi DUN Nenggiri mempunyai 20,259 pemilih berdaftar, melibatkan 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
— Livevartha