Thursday , 19 September 2024
Home Politik PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah
Politik

PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah

PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah

MAHFUZ OMAR

ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan menyokong sepenuh­nya calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bagi memastikan gelombang kejayaan di Nenggiri dapat diteruskan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau diberikan amanah sebagai Pengarah Jawatankuasa Induk Amanah yang bertanggungjawab menyelaras jentera parti itu dari seluruh negara bagi berkempen di kerusi itu.

“Sebagaimana kita bekerja di Nenggiri, begitu jugalah kita akan berkempen di Mahkota untuk pastikan kemenangan calon BN. Kami akan berhabis-habisan untuk memastikan calon muda dari BN itu mencapai kejayaan lebih besar di Mahkota.

“Kita mahu pastikan pe­ngundi di Mahkota dapat menghalang elemen politik ‘mendajalkan’ orang daripada masuk ke Johor. Tak patut langsung untuk kita terima pihak-pihak yang mendajalkan orang lain, semata-mata kerana tak bersama mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Ladang Udang Kara Air Tawar Arbaah di Kampung Durian di sini, semalam.

Kelmarin, BN mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon bertanding mewakili parti itu pada PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz menempelak ke­nyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan bertindak rakus menyekat kebebasan mereka untuk menyuarakan hak orang Melayu, bumiputera serta kedudukan Islam yang dijamin Perlembagaan.

Menurut beliau, sekiranya benar tiada kebebasan untuk bersuara seperti didakwa Pre­siden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, parti tersebut sendiri sudah tentu akan diharamkan.

“Ini masalahnya dengan mereka tak habis-habis timbulkan isu kononnya Islam terancam. Setiap kali menjelang pilihan raya, maka timbullah isu ini seakan tiada kesudahan.

“Hakikatnya mereka ke­tandusan isu ketika kerajaan semakin membaiki ekonomi dengan kemasukan pelabur antarabangsa. Kita juga me­nerima pelbagai pujian dari luar negara dan disebabkan terdesak, maka timbullah dakwaan sebegini,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

BN Sabah perhalusi kerjasama dengan PH menjelang PRN17
Politik

BN Sabah perhalusi kerjasama dengan PH menjelang PRN17

BUNG Moktar Radin (dua kiri) semasa hadir mempengerusikan Mesyuarat UMNO Sabah di...

PRK Mahkota: PN umum calon malam ini
Politik

PRK Mahkota: PN umum calon malam ini

MUHYIDDIN YASSINKLUANG: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon yang mewakili parti itu...

PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, namun tetap semangat
Politik

PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, namun tetap semangat

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan...

PM luncur PIKAS 2030 sasar pelaburan RM78b enam tahun
Politik

PM luncur PIKAS 2030 sasar pelaburan RM78b enam tahun

ANWAR Ibrahim menunjukkan buku PIKAS 2030 pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama...