KLUANG: Pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diadakan malam esok.
Menurut maklumat yang dikongsi PN kepada pihak media, pengumuman itu diadakan di Bilik Gerakan Utama PN di Jalan Dahlia, Kampung Melayu, Kluang pada pukul 8.30 malam.
Nama calon akan diumumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Utusan Malaysia melaporkan pengumuman calon PN yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguhkan susulan para pemimpin PN sibuk dengan sambutan Hari Ulang Tahun Ke-8 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta mesyuarat kepimpinan tertinggi PN.
Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Sabtu lalu.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN