Saturday , 7 December 2024
Home Politik Pemuda Pas pertahan ambil maklumat di media sosial, WhatsApp
Politik

Pemuda Pas pertahan ambil maklumat di media sosial, WhatsApp

KETUA Pemuda Pas, AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN

KOTA BHARU: Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden mengakui, tindakan pembangkang mengambil maklumat daripada media sosial dan aplikasi WhatsApp disebabkan pembangkang tidak mempunyai akses maklumat rasmi kerajaan.

Beliau yang mempertahankan tindakan itu berkata, semua perkara yang dibawa adalah perasaan, suara dan luahan rakyat yang disampaikan melalui platform berkenaan untuk dibawa oleh wakil rakyat ke Parlimen.

“Itu fungsi pembangkang dalam semak dan imbang. Kita bawa suara rakyat yang timbul atas pelbagai faktor termasuk emosi, berfakta atau tidak. Kalau tak betul, cakap tak betul… kita OK.

“Rakyat minta kita bawa kerana kita ada imuniti dalam Parlimen. Kalau maklumat kita bawa itu salah, maka cakaplah salah dan berikan maklumat yang betul kerana sudah menjadi tugas kerajaan untuk memberitahu betul atau tidak maklumat yang disampaikan itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ahli Parlimen Alor Setar itu memberitahu, perkara yang sepatutnya menjadi fokus ketika ini adalah berkaitan reformasi Parlimen yang digembar-gemburkan tetapi berkesudahan sebagai cakap kosong.

“Bila ada maklumat betul kita bawa ke Parlimen tetapi tidak dibenarkan bercakap. Malah ada Ahli Parlimen pembangkang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal – Machang) digantung sehingga enam bulan dan tidak dibenarkan mengikuti persidangan dalam Dewan Rakyat mahupun di Galeri Awam Parlimen Malaysia.

“Sebanyak 10 pertanyaan setiap hari juga dikurangkan yang mana pembangkang hanya dibenarkan empat soalan berbanding enam oleh blok kerajaan. Perkara sebeginilah sepatutnya menjadi fokus dan menyebabkan kami mempersoalkan di manakah reformasi Parlimen,” ujarnya.

Afnan Hamimi berkata, pada masa sama Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak akan terikut gaya pembangkang yang dibawa Pakatan Harapan (PH) sebelum mereka menjadi kerajaan sebelum ini.

Katanya, PN akan kekal memainkan peranan semak dan imbang mengikut cara sendiri iaitu menyokong perkara yang membawa manfaat kepada negara dan membantah perkara tidak betul.

Ujarnya, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan merupakan satu contoh PN memainkan peranan sebagai penyemak imbang yang mana ia dipersetujui kerana bermanfaat kepada negara.

“Dalam Belanjawan 2025 juga tidak semua perkara kita tidak setuju. Yang tak setuju kita sebut tidak setuju dan cadang perkara sepatutnya. Perkara yang dipersetujui, kita sokong. Itu cara kita memainkan peranan sebagai pembangkang. 

“Kita tidak sama seperti ketika mereka (PH) jadi pembangkang dahulu. Saya rasa kerajaan sedia ada ini lebih sesuai jadi pembangkang sebab mereka masih bermentaliti pembangkang sehingga ke hari ini,” ujarnya.– UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...