Wednesday , 25 September 2024
Home Politik Papar gambar pemimpin politik pada slaid khutbah Jumaat: Empat pegawai JAIM diambil tindakan
Politik

Papar gambar pemimpin politik pada slaid khutbah Jumaat: Empat pegawai JAIM diambil tindakan

RAHMAD MARIMAN

MELAKA: Kerajaan negeri telah mengambil tindakan tatatertib terhadap empat pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang terlibat dengan isu penggunaan gambar seorang pemimpin politik pada paparan infografik slaid khutbah Jumaat, minggu lalu.

Dalam slaid berasingan, turut dipaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tanpa digantikan dengan gambar Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, turut terlibat ialah seorang ketua penolong pengarah di Bahagian Pengurusan Masjid JAIM.

Tegasnya, ada di antara mereka diberhentikan perkhidmatan atas kecuaian itu dan selebihnya ditukarkan ke bahagian atau daerah lain.

“Mereka merupakan kakitangan Bahagian Pengurusan Masjid yang bertanggungjawab melaksanakan penyediaan slaid tersebut.

“Kita telah mengambil tindakan tegas, ada di antara mereka telah diberhentikan selain ada yang ditukarkan ke bahagian serta daerah lain.

“la satu kesilapan yang sama sekali tidak boleh dilakukan dan JAIM memohon maaf atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas di sini, hari ini.

Majlis telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Infografik khutbah bertajuk ‘Negaraku, Tanah Airku’ pada 20 September yang disediakan Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia, memaparkan wajah seorang ketua parti pembangkang dan telah mencetuskan perdebatan hangat.

JAIM sebelum ini telah mengeluarkan permohonan maaf dan mengarahkan slaid infografik itu ditarik balik. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Azmin hanya tanding Ketua Bersatu Bahagian Gombak

MOHAMED AZMIN ALIKUALA LUMPUR: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk...

Politik

Pecat, tukar pegawai JAIM tindakan zalim – Pas Melaka

AHMAD BILAL RAHUDINMELAKA: Pas mengecam sekeras-kerasnya tindakan tatatertib terhadap empat pegawai Jabatan...

Politik

NGO Melaka cadang gelaran Datuk Pengerusi GISBH ditarik

WAN AHMAD AFIQ Noordin (dua dari kiri) bersama Amirul Hakim Mohd. Yusof...

Politik

Rakyat Malaysia di Lubnan digesa segera tinggalkan negara itu – Mohamad Hasan

MOHAMAD HASANPUTRAJAYA: Semua warganegara Malaysia di Lubnan digesa untuk segera meninggalkan negara...