Sunday , 22 December 2024
Home Politik Negara, PH masih perlukan Anwar
Politik

Negara, PH masih perlukan Anwar

DR. HAFIDZAH Mustakim berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan dan Eksplorasi Remaja Gemilang di SK Sri Chempaka, Tanjong Mas, Kota Bharu, Kelantan semalam. – UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU: Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan meng­anggap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diperlukan selaku Pengerusi PH dan Perdana Menteri dalam konteks kepimpinan negara.

Ketuanya, Dr. Hafidzah Mus­takim berkata, sungguhpun Anwar kini menghampiri peng­gal akhir sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun masih banyak cara untuk daya kepemimpinan Anwar mewarnai landskap politik dan kepimpinan negara.

“Mengetuai sesuatu parti politik adalah kelebihan bagi seseorang pemimpin tetapi masih banyak cara untuk beliau terlibat dalam aktiviti masyarakat terutama dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

“Tidak perlu terhad kepada presiden parti politik kerana beliau mempunyai banyak cara atau platform untuk menyumbang bakti, khususnya dalam politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan dan Eksplorasi Remaja Gemilang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Chempaka di Tanjong Mas, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Kota Lama itu memberitahu, Anwar juga mempunyai peranan sangat besar dalam membentuk kekuatan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Katanya, dalam konteks Ke­lantan yang mana kompo­nen terbesar Kerajaan Perpaduan adalah PH dan Barisan Nasio­nal (BN), Anwar masih mempunyai peranan sangat besar kerana rakyat mahu melihat PH menjadi gabungan politik yang kuat di negeri ini.

“Dengan pemilihan pucuk pimpinan baharu, kita harap dan yakin PH boleh menawarkan satu kepemimpinan baharu yang boleh membawa perubahan sebenar kepada Malaysia termasuk Kelantan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hafidzah yang juga Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (AWAN) Kelantan berkata, Anwar juga telah menunjukkan prestasi membanggakan selaku pemimpin negara apabila berjaya membawa suara Malaysia ke mata dunia.

“Beliau merupakan seorang tokoh pemimpin yang betul-betul melaksanakan apa yang dikata. Bagi saya untuk penggal ini beliau dan Kerajaan Perpaduan berjaya membawa suara kita ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

“Langkah menyertai BRICS contohnya, umpama satu cahaya baharu buat negara dan kita harap di bawah kepimpinan beliau, Malaysia akan benar-benar menjadi Harimau Asia atau lebih dari itu,” ujarnya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Pemilihan PKR yang dijangka berlangsung tahun depan adalah penggal terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Presiden parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, Perlembagaan parti hanya membenarkan setiap Presiden memegang jawatan selama tiga penggal.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bermakna Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau tidak lagi memegang jawatan Presiden PKR. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...