Friday , 27 September 2024
Home Politik Malaysia gesa UNSC bertindak segera hentikan serangan kejam Israel di Palestin, Lubnan
Politik

Malaysia gesa UNSC bertindak segera hentikan serangan kejam Israel di Palestin, Lubnan

lubnan

Gambar yang diambil pada 24 September 2024, menunjukkan serpihan dan kemusnahan di tapak serangan Israel semalaman di kawasan kejiranan di bandar Lubnan Baalbeck di lembah Bekaa. –
AFP

PUTRAJAYA: Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam rejim Zionis Israel yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

Kementerian Luar berkata, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera.

Tegas Wisma Putra, dalam hal ini Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini.

“Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, kementerian ini menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.

“Warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di Lubnan kembali stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia pada masa sama mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis di Lubnan yang mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

Jelasnya, serangan ini juga menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Kata Wisma Putra, tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.

“Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

“Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima,” katanya.

Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beirut di Alamat Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan (Nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063 Emel: [email protected]). – UTUSAN

Related Articles

Politik

50,000 sokong hak ibu warga Malaysia turunkan kewarganegaraan anak lahir luar negara

NANCY Syukri mengadakan pertemuan dengan Family Frontiers dan Rangkaian Ibu-Ibu Warga Malaysia...

Politik

‘Tiba masa wujudkan Kerajaan Perpaduan di Johor’

38 permit kempen ceramah dan kempen bergerak dikeluarkan pada Pilihan Raya Kecil...

Politik

Pemilihan Bersatu: Belum bertanding sudah kena cantas

SHAH ALAM: Pemilihan Parti Bersatu bagi sesi 2024 – 2027 didakwa berat...

Politik

PRK Mahkota: BN, PN tempuhi cabaran berbeza

NASIB Syed Hussien Syed Abdullah (kiri) dan Mohamad Haizan Jaafar akan ditentukan...