Sunday , 22 December 2024
Home Politik Kerjasama hadapi PRN Sabah perlu ambil kira sentimen ‘lokal’
Politik

Kerjasama hadapi PRN Sabah perlu ambil kira sentimen ‘lokal’

MUSTAPHA SAKMUD

PUTRAJAYA: Sebarang kerjasama yang bakal dibentuk menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun hadapan perlu mengambil kira sentimen ‘lokal’ dan situasi semasa politik di Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pendekatan politik di Sabah pastinya berbeza jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

Justeru, katanya, sentimen lokal itu perlu diambil kira jika mahu sebarang bentuk kerjasama dengan parti-parti lokal di Sabah.

“Jadi bila menyebut tentang sentimen lokal, maknanya kita juga perlu menilai supaya kita dapat bekerjasama dengan parti-parti lokal yang ada di Sabah.

“Dan ini akan dapat memastikan bahawa Kerajaan Perpaduan akan ‘solid’ untuk memenangi PRN Sabah pada tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program MOHE-MDEC Global Outsourcing Talent (GOT) di sini, hari ini.

Katanya, pertemuan antara Barisan Nasional (BN) Sabah dan PKR Sabah semalam adalah satu inisiatif baik bagi mengukuhkan kerjasama PHBN untuk dibawa ke Sabah untuk menghadapi PRN Ke-17.

Mustapha berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan membuat keputusan secara bersama bagaimana untuk meneruskan kerjasama yang baik ini.

Pada Selasa lalu, satu pertemuan berlangsung antara pimpinan PH dan BN Sabah di Kota Kinabalu bagi merangka persefahaman bagi menghadapi PRN Sabah.

Menerusi satu kenyataan bersama, BN-PH Sabah bersetuju untuk mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama menjelang PRN.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke depan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan kedua-dua parti,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup; Pengerusi MCA Sabah, Datuk Reah Heok Kuin; Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhmad Kadir; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Naib Pengerusi DAP, Jannie Lasimbang; Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin; dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...