PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat agar lebih separuh daripada 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara bakal menjalani latihan kenegaraan yang berkaitan tema Malaysia Madani.
Usaha itu menurut Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar akan dilakukan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Katanya, siri yang dirangka itu sejajar persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar AKM menjadi peneraju bagi latihan kenegaraan.
“Setakat ini saya difahamkan lebih 250,000 kakitangan awam menghadiri pelbagai kursus terbabit dan insya-Allah tambah lagi kepada 500,000 orang pula tahun depan.
“Peserta bakal diserapkan dengan ilmu patriotisme dan pencerahan isu berkaitan dasar Malaysia Madani yang diselaraskan bersesuaian aspirasi Kerajaan Perpaduan,” katanya ditemui pemberita selepas menyampaikan Sijil Pelantikan Pegawai Kenegaraan Kementerian dan Jabatan Utama di sini hari ini.
Inisiatif tersebut tambahnya, diharapkan mampu dalam memperkasakan ilmu kenegaraan dan semangat patriotik dalam kalangan rakyat membabitkan semua lapisan masyarakat.
Malahan modul latihan yang disusun AKM kata Shamsul Azri, lebih komprehensif dengan kurikulum memenuhi keperluan semasa bagi memupuk perasaan cinta kepada negara. – UTUSAN