Monday , 23 December 2024
Home Politik Jumpa kami kalau mahu kerjasama – PKR Sabah
Politik

Jumpa kami kalau mahu kerjasama – PKR Sabah

RAZEEF RAKIMIN

KOTA KINABALU: “Kita nasihatkan Barisan Nasional (BN), kalau mahu kerjasama, jumpa kami, jangan jumpa (pimpinan) di atas.”

Demikian kata Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin mengenai kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan BN dan Pakatan Harapan (PH) telah muktamadkan kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah.

Razeef, yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR pusat memaklumkan, setakat ini tidak ada perbincangan atau pertemuan secara rasmi mahupun tidak rasmi dilakukan antara BN dan PH di Sabah.

“Mereka (BN) tidak ada berbincang dengan kami. Mereka berjumpa pun tidak, berhubung pun tidak ada setakat ini. Jadi, kita nasihatkan BN, kalau mahu kerjasama jumpa kami. Jangan jumpa di atas.

“Setakat ini kami tidak dipanggil untuk sebarang perbincangan dan untuk makluman, PKR Sabah ada autonomi sendiri. Jadi, jika ada sesiapa yang mahu bekerjasama dengan kami (PH), maka, harus berjumpa dengan kami…berbincang dengan kami bukan berbincang di atas.

“Sebab keputusan kami yang buat dan kami tahu siapa yang lebih sesuai untuk bekerjasama. Kalau BN rasa ingin kerjasama, boleh tapi datang jumpa kami. Begitu juga dengan parti-parti lain, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sebagainya, kami masih terbuka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau tidak mahu keputusan kerjasama di peringkat negeri dibuat tanpa pengetahuan pimpinan PH, perlu hormati pimpinan yang berada di Sabah.

Katanya, pemimpin PH di Sabah lebih tahu isu di negeri ini, jadi mereka yang akan memutuskan dengan siapaingin bekerjasama dan selepas itu barulah dimaklumkan kepada Presiden PKR yang juga Pengerusi PH.

Beliau berkata, setakat ini perbincangan rasmi dengan GRS pun belum dibuat, namun PKR selesa dengan kerjasama GRS di peringkat negeri dan BN di peringkat Persekutuan.

Ditanya tentang kemungkinan kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan), Razeef berkata, secara peribadi beliau tidak melihat akan berlaku kerjasama antara PH dan Warisan menjelang PRN17.

Kata beliau, jika dilihat beberapa kenyataan pemimpin Warisan sebelum ini seolah-olah menyerang PH, jadi tiada keperluan untuk bekerjasama dengan orang yang menyerang mereka. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...